Berita Terkini
recent

Elemen lucu geletek penonton

Bermula dengan Asrama-Ra pada Oktober 2013, Asrama-Ra All Stars (Oktober 2014) dan Asrama-Ra ‘Rahsia Agung Di Asrama’ yang kembali dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur pada 8 hingga 10 September lalu, karya serta arahan Khairunazwan Rodzy ini tetap berjaya memberikan kepuasan buat penonton.

Setiap versi menampilkan pelakon berbeza dan kali ini, Khairunazwan memilih pelakon terdiri daripada pelajar jurusan teater beberapa institut pengajian tinggi tempatan dan bakat asuhan Revolution Stage miliknya sendiri.

Sebagai tarikan dan memantapkan lagi teater ini, Khairunazwan memilih tiga nama terkenal iaitu Hasnul Rahmat, Issey dan Najua P Ramlee yang ternyata berjaya menunjukkan lakonan terbaik mereka.

Keseluruhannya Asrama-Ra ‘Rahsia Agung Di Asrama’ mempunyai cukup rencah yang berjaya membuat penonton melekat di kerusi untuk menyaksikannya dari awal hingga akhir.

Ada elemen lucu yang berjaya menggeletek hati penonton. Namun pada masa sama, mereka juga disajikan elemen cemas dan akhirnya dibuai emosi sehingga mengalirkan air mata.

Sudah namanya Asrama, cerita ini mengambil kejadian yang berlaku di sebuah sekolah berasrama membabitkan tujuh pelajar dan dua guru mereka.

Secara mudah, Khairunazwan mengambil latar sekeliling sebagai inti pati cerita ini iaitu mesej mengenai persahabatan, amanah dan kepemimpinan.

Pelajar sememangnya akrab ini perlu menjaga aib supaya tidak mendedahkan rahsia yang lain kepada sesama mereka.

Manakala guru pula perlu menunjukkan sifat kepemimpinan dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuka aib seorang pelajar kepada pelajar lain yang akhirnya boleh memalukan sehingga bertindak di luar kawalan.

Seperkara yang perlu diakui, nama Revolution Stage sudah dikenali dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Oleh itu, mereka berjaya mengumpul khalayak peminat biarpun sambutan terhadap teater bebas kurang memberangsangkan berbanding teater komersial.

Khairunazwan berkata, teater ini ditulis berdasarkan pengalamannya ketika menjadi pengawas di asrama sekolah.

“Ini karya asli tulisan saya sendiri. Untuk kali ini saya masih kekalkan cerita yang sama namun biarkan pelakon menginterpretasi sendiri watak mereka.

“Mereka perlu bijak melahirkan watak. Persiapan yang dibuat hanya dua minggu dan saya amat berpuas hati dengan lakonan mereka,” katanya.

Menurutnya, cerita ini berkisarkan elemen persahabatan yang pastinya mempunyai pasang surut.

“Adakala keakraban ini boleh menjadi renggang disebabkan satu perkara atau kepentingan individu yang tak dapat dipenuhi.

“Skrip ini mengambil masa dua bulan untuk disiapkan pada 2013. Apabila mementaskannya di tempat yang besar, saya boleh kembangkan lagi cerita ini dalam bentuk lain,” katanya.

Teater ini juga diklasifikasikan untuk tontonan 13 tahun ke atas kerana mempunyai dialog yang agak keterlaluan dan menyinggung perasaan segelintir pihak.

“Penggunaan bahasa kesat dan mencarut dalam kalangan remaja ibarat perkara biasa sekarang. Tapi saya masih minta pelakon agar mengawal dialog agar jangan keterlaluan.

“Saya bukan mahu mengajar penonton cara menyelesaikan masalah, sebaliknya memberikan pengajaran yang bermakna,” katanya.

Asrama-Ra ‘Rahsia Agung Di Asrama’ mengisahkan sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menjalani kem kepemimpinan sebagai pengawas di sekolah mereka diiringi Cikgu Sabariah dan Cikgu Adam.

Pada malam terakhir, dua pelajar perempuan, Suhaila dan Nabila mengalami histeria secara tiba-tiba dan menjadi semakin rumit apabila kejadian demi kejadian berlaku manakala Cikgu Adam serta Cikgu Sabariah juga terbabit dalam kejadian itu.

Selain Hasnul, Issey dan Najua, teater ini turut menampilkan pelakon Aroha Ibrahim, Embun Karina, Nyna Roslan, Maria Manora, Ayun Maknoh serta Aifa Amalina.
ot;1" />
Powered by Blogger.