Berita Terkini
recent

Eizlan Tetap Berasa Sedih

PELAKON Datuk Eizlan Yusof tetap berasa sedih dengan tindakan Zizan Razak mempersendakannya dan Hans Isaac berhubung gelaran Datuk diterima walaupun pengacara itu sudah memohon maaf.

Bagaimanapun, Eizlan, 46, berkata dia menghormati tindakan Zizan yang menghubunginya untuk mengaku kesilapan.

"Siapa yang tak sedih apabila perkara sebegini boleh berlaku. Saya memang senada dengan Hans.
"Apa yang dia rasa, saya pun sama seperti itu. Tapi semua sudah selesai. Saya hormat dengan tindakan berani Zizan yang membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Malah, dia juga ada menghubungi saya untuk meminta maaf.  Saya terima permohanan tersebut," kata Eizlan.

Menurut Eizlan, dia bangga dengan tindakan Hans mempertahankan diri dan juga rakan-rakan selebriti yang membawa gelaran Datuk.

Dalam pada itu, Eizlan berharap selepas ini tidak kira selebriti mahupun masyarakat agar jangan mempertikaikan institusi diraja.

"Saya berbangga Hans yang mengambil tindakan terdahulu mempertahankan diri dan juga rakan-rakan selebriti yang lain.

"Saya harap selepas ini seluruh rakyat Malaysia tidak lagi mempertikaikan institusi diraja kerana ia adalah lambang kedaulatan negara dan perpaduan masyarakat Malaysia.

"Apabila diberi gelaran Datuk, ia menjadi tanggungjawab kami memegang amanah yang diberi oleh institusi tersebut," ujarnya.


www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.