Berita Terkini
recent

DAP mahu bertanding di Kelantan, ini kata Nik Abduh

Pas mengalu-alukan hasrat DAP yang mahu kembali bertanding di Kelantan pada PRU14.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, DAP berhak berbuat demikian kerana ia selaras dengan amalan demokrasi diamalkan di negara ini.

"Kita alu-alukan, hidupkan demokrasi dan persaingan sihat dalam politik," katanya ringkas kepada Sinar Online, hari ini.


Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan DAP kini dikatakan sedang mengintai untuk bertanding di kerusi Dun Kelantan pada PRU14 nanti.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Amanah Negeri, Datuk Wan  Abd Rahim  Wan Abdullah bagaimanapun berkata,  setakat ini, Pakatan Harapan belum membincangkan soal agihan kerusi di peringkat kawasan Dun, sebalilknya memberi perhatian di peringkat parlimen.

Sementara itu, memetik kenyataan pemimpin DAP Kelantan Chua Chin Hui berkata, pimpinan tertinggi parti itu memohon diberi peluang bertanding di dua kerusi Dun iaitu di Galas dan Kota Lama.

Sementara itu, Setiausaha BN Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, BN Negeri tidak tergugat walaupun DAP membayangkan akan membarisi barisan pembangkang bertanding di Kelantan, PRU14 nanti.

Katanya, mana-mana parti pun berhak untuk meletakkan calon mereka, dan BN melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang biasa dalam proses demokrasi di Malaysia.

“DAP bebas, dan berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen atau Dun di Kelantan, jika pun Pakatan Harapan tidak setuju.

"Namun saya rasa DAP sukar dipengaruhi oleh rakan-rakannya. Tetapi jika mereka mahu bertanding, tiada siapa boleh menghalang,” katanya.
Powered by Blogger.