Berita Terkini
recent

Dana untuk pelarian Syria

Bersempena program Kembara Jiwa dan Kemanusiaan Syria Care, Umrah dan Ziarah ke Istanbul pada 31 Oktober ini, satu persembahan amal eksklusif diadakan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rakyat Syria yang menjadi pelarian di Turki.

Pengurus Projek Syria Care Nurdieana Mohd Marzi berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran dana kerana objektif asal untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Sumbangan dibuka sepanjang masa. Namun menerusi program ini, kami memerlukan sedikit dana untuk dihulurkan kepada pelarian Syria di Istanbul. Malah kami ingin membelikan sedikit hadiah buat kanak-kanak di sana.

“Apabila program ini dilancarkan, kami tidak menetapkan sebarang sasaran jumlah kutipan. Berapa pun yang kami dapat ia tetap rezeki. Kalau banyak lebih bagus. Apa yang penting adalah kesedaran orang ramai terhadap misi kemanusiaan ini,” katanya.

Menurut Nurdieana, pada awalnya pihaknya menyasarkan lebih 50 penyertaan namun program ini kurang mendapat sambutan.

“Kalau boleh, lebih banyak lebih bagus. Bagaimanapun, program ini dijalankan sebelum cuti sekolah, jadi ia kurang mendapat sambutan. Ramai yang menghubungi kami ingin membawa anak mereka bersama.

“Buat masa sekarang penyertaan 43 orang. Insya-Allah sebelum kami berangkat ke sana, jumlah terbabit boleh bertambah. Lagipun, program ini dibuka kepada dua pakej iaitu umrah dan ziarah atau umrah saja.

“Menariknya, program ini turut disertai orang Brunei, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Pada persembahan amal itu, dua artis terbabit menjayakan program iaitu Khai Bahar dan Azadan Rabbani yang turut mengadakan persembahan khas buat penyumbang.

“Kami memilih mereka kerana mewakili dua generasi berbeza. Khai boleh diibaratkan ikon kepada anak muda masa kini selain memiliki peminat yang ramai. Jadi dia boleh menarik perhatian orang muda untuk terbabit sama.

“Pada masa sama, setiap perkongsian yang dibuat Khai di Instagram mendapat maklum balas positif peminat. Bagi saya itu sudah memadai,” katanya.

Keterujaan Khai Bahar

Khai yang popular dengan lagu Bayang, mengakui teruja untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang diatur Syria Care.

“Bukan mudah dapat peluang sebegini. Sebagai penyanyi baru saya bertuah kerana dipilih menjayakan program ini.

“Sebelum ini saya hanya mendengar kisah pelarian Syria di Istanbul tetapi apabila diberi peluang ke sana dan berjumpa mereka ia membuatkan saya terharu. Insya-Allah saya juga bakal menghiburkan mereka di sana,” katanya.

Khai berkata, dia turut mengambil kesempatan membawa ibu bapanya menunaikan umrah.

“Ikutkan perancangan nak bawa mak dan ayah pergi umrah tahun depan. Apabila terbabit dalam program ini, saya bawa mereka sekali. Namun saya menggunakan duit sendiri kerana itu memang niat saya dari dulu.

“Apabila ditawarkan menyertai program ini, saya terus menyatakan persetujuan. Bagi saya ia sesuatu yang bagus dan bermanfaat untuk dikongsi. Sekurang-kurangnya saya dapat mengajak dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pelarian Syria di Istanbul,” katanya yang akan berada di sana selama dua minggu.
Powered by Blogger.