Berita Terkini
recent

Da’i Adneen tersingkir minggu ke-9

MINGGU lalu berlangsungnya episod kesembilan Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima, yang bersiaran di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Buat pertama kalinya, program realiti ini memperkenalkan konsep dan format baru iaitu Pengajian Kitab.

Peserta memberikan tazkirah secara berpasangan dan bergilir untuk menerangkan petikan hadis daripada Kitab Riyadus Solihin oleh juri tetap Ustaz Zarifi Daud dan Prof Madya Dr Sharifah Hayaati.

Setelah enam peserta selesai memberikan tazkirah, Da’i Adneen diumumkan tersingkir di akhir rancangan.

Terdahulu, peserta dipasangkan kepada tiga pasangan dan setiap pasangan akan dibacakan dua petikan hadis daripada Kitab Riyadus Solihin.

Kesemua mereka mempunyai masa dua minit untuk memberikan penerangan setiap petikan hadis yang dibacakan.

Juri tetap, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail memberitahu, dia dapat saksikan satu sejarah program realiti Dai Pendakwah Nusantara kerana buat pertama kalinya memaparkan konsep dan format baru.

Katanya, kupasan hadis merupakan antara asas tazkirah seorang pendakwah.

“Saya teruja dan berbangga dengan prestasi peserta kerana mereka dapat memberikan penerangan dengan tenang sambil menyampaikan dengan kreativiti masing-masing. Saya harap agar format ini dapat dikekalkan di musim-musim akan datang kerana ini merupakan persediaan kepada para peserta bagi menghadapi dunia pendakwah yang sebenar di luar sana.

“Buat Da’i Adneen, jangan menyerah kerana Adneen mempunyai potensi yang amat besar. Dari awal musim ini kita telah memberikan satu label kepada Adneen sebagai seorang yang kecil-kecil cili padi kerana Adneen mempunyai hati yang besar dan penuh dengan ilmu,” tambahnya lagi.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan menerima wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di pentas akhir Da’i Pendakwah Nusantara.

Pemenang Da’i Pilihan Penonton ini dipilih berdasarkan jumlah kemenangan sebagai Da’i Pilihan Penonton setiap minggu yang ditentukan melalui jumlah hashtag nama mereka setiap minggu.
Powered by Blogger.