Berita Terkini
recent

'Bukan sebab Hyper Act'

PENYANYI yang juga bekas juara Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Firman Bansir, 28, akur bukan rezekinya untuk terus bersaing di pentas AF Megastar sebaliknya sudah tertulis sebagai

penyanyi baru kumpulan Hyper Act.

Firman yang dikenali dengan lagu Dipintumu turut menafikan Hyper Act menjadi punca utama mengapa dia tidak dipilih untuk meneruskan perjuangan di pentas AF Megastar yang kini disiarkan di Astro setiap Ahad, jam 9 malam.

Menurutnya, Hyper Act tidak ada kena-mengena langsung dengan pembabitannya dalam AF Megastar.

"Saya berani mencuba nasib untuk bersaing di pentas AFMegastar atas tiket sebagai penyanyi solo kerana saya juga bermula sebagai penyanyi solo dengan satu album.

"Jadi rasanya agak kurang elok apabila secara tiba-tiba nama Hyper Act dikaitkan sama apabila saya tidak dipilih sebagai salah seorang peserta.

"Apapun, saya melihat ke arah positif. Rezeki itu milik Allah SWT yang sangat luas untuk setiap hamba-Nya dan diberikan dalam banyak cara. Itulah yang saya peroleh sekarang," katanya.

Firman kini melihat perjuangannya untuk terus bertahan dalam karier nyanyian yang serius diceburi sejak 2014 ini bersama Hyper Act sebagai vokalis tetap.

Firman juga vokalis ketiga Hyper Act selepas Ronnie Hussein dan Kecik.

Menurut Firman, baginya tidak salah untuk mencuba nasib di pentas AF Megastar malah mengakui puas kerana dapat mengambil peluang yang diberikan.

Anak jati Tawau, Sabah ini mahu fokus bersama Hyper Act berikutan mereka juga baru muncul dengan single Kasih.

"Saya berterima kasih kepada Hyper Act kerana sudi dan yakin untuk memberi saya peluang aktif dalam perjuangan muzik bersama mereka sebagai penyanyi.

"Apatah lagi sejak menyertai Hyper Act beberapa bulan lalu saya juga menerima layanan baik dan tidak pernah dianggap sebagai vokalis gantian semua anggota kumpulan.

"Penerimaan daripada peminat juga sangat baik dan saya mengharapkan semoga single Kasih yang baru kami lancarkan bersama akan berjaya menambat hati peminat," katanya.

Firman juga bersyukur kerana Kasih dipilih menjadi lagu tema untuk drama Titian Cinta yang kini disiarkan di slot Akasia TV3.
Powered by Blogger.