Berita Terkini
recent

BNM serbu aktiviti pengambilan deposit secara haram

Bank Negara Malaysia (BNM) mengetuai serbuan bersama terhadap MGSB Berhad yang disyaki menjalankan aktiviti kewangan secara haram mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata serbuan pada 15 September tersebut dilakukan terhadap tujuh premis yang mempunyai kaitan dengan MGSB dan sekutunya di Kajang, Bangi, Shah Alam, Selangor dan Kuala Lumpur.

Serbuan itu yang dilakukan Pasukan Pengkuatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), adalah sebahagian daripada langkah antara agensi bagi menghapuskan aktiviti sedemikian, kata BNM.

"Tiga pengarah syarikat yang disyaki menjadi dalang dan ejen bagi aktiviti pengambilan deposit secara haram ditangkap dan direman. Operasi bersama itu juga membawa kepada  pembekuan 54 akaun dalam 11 bank dan rampasan wang dalam mata wang ringgit serta mata wang asing berjumlah lebih RM700,000 di bawah AMLA.

"Mengikut Seksyen 137(1) FSA, adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa sahaja menerima deposit tanpa memiliki lesen. Penyiasatan berhubung pengubahan wang haram juga akan dilakukan mengikut AMLA," katanya.

Individu yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 137(1) FSA boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil yang diperoleh melalui aktiviti atau instrumentaliti haram ketika kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Orang ramai dinasihati  berhati-hati dengan kegiatan syarikat tanpa lesen untuk membuat pelaburan dan perlu merujuk kepada institusi kewangn berlesen yang tersenarai di laman sesawang BNM (www.bnm.gov.my). – Bernama

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.