Berita Terkini
recent

Bandi promosi gaya hidup sihat

Bergelar anak seni selama 35 tahun sudah pasti memberi pelbagai kenangan pahit dan manis buat Bandi Amuk.

Pemilik nama sebenar Nasabandi Jumat ini boleh dikatakan sudah lali dengan asam garam dan dugaan yang diharungi sepanjang tempoh itu.

Selepas mengundur diri daripada kumpulan Febians, Bandi terus mencipta nama dan dikenali sebagai Bandi Amuk.

Dengan imej bertopeng muka, Bandi nyata selesa dengan penampilannya yang sekali gus memberi keunikan dengan identiti tersendiri berbanding artis lain.

Biarpun namanya masih diingati, jarang sekali kita melihat kemunculan Bandi di televisyen, malah jika di stesen radio hanya lagu lamanya yang masih berkumandang.

Mengakui masih aktif menyanyi, penyanyi rock yang cukup terkenal dengan slogan ‘Yeah Yeah’ ini berkata, dia tetap menerima undangan untuk membuat persembahan pentas.

Walaupun pada satu ketika, kita mendengar khabar mengenai Bandi yang sudah berhijrah dan mendalami ilmu agama, bapa kepada lima anak ini berkata, perkara itu tidak menghalangnya terus menyanyi.

Malah, katanya, dia juga mengambil peluang dalam setiap persembahannya untuk menyampaikan nasihat berunsur keagamaan dengan cara tersendiri.

Menyingkap sisi sedih yang dilalui dalam kehidupannya sehingga pernah mengganggu fokusnya dalam bidang nyanyian, Bandi berkata, ia berlaku apabila anak keempatnya Muhammad Saiful Affique, 20, mengalami masalah ketumbuhan di bahagian belakang paru-paru.

Namun, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang kuasa Tuhan, hampir tiga tahun berlalu, anaknya kembali sihat seperti sedia kala.

Baginya, apa yang berlaku sebenarnya memberi rezeki buatnya apabila dia diperkenalkan dengan pengasas sebuah syarikat berasaskan kesihatan, RCC Global (M) Sdn Bhd iaitu Azman Mohd Som.

Perkenalan dengan Azman membawa kepada ikhtiar Bandi menggunakan produk syarikat itu iaitu pemanis semula jadi, stevia sebagai antara rawatan tambahan buat anaknya.

Akhirnya, Ogos lalu, Bandi dengan penampilannya yang masih sama bertopeng muka berwarna merah, dilantik menjadi duta kepada syarikat berkenaan dengan mengikat kontrak selama setahun.

Inilah kali pertama Bandi menjadi duta produk sejak bergelar anak seni.

“Sebelum ini ada juga mendapat tawaran menjadi duta produk, tetapi kadang-kadang dengan penampilan saya, seperti tidak sesuai pula hendak memasarkan sesuatu produk itu.

“Namun, berbeza dengan RCC Global (M) Sdn Bhd, apabila saya menerima tawarannya bukan kerana wang semata-mata tetapi kerana keyakinan sebagai pengguna produk ini sekian lama bagi merawat anak.

“Pada mulanya saya hanya menjadi ahli dan dijemput membuat perkongsian mengenai kebaikan produk ini selepas digunakan kepada anak saya, Alhamdulillah, pada bulan lalu, Azman menawarkan saya sebagai duta produk ini.

“Memang ada kawan yang kata bolehkah saya jadi duta produk? Dengan penampilan rocker, bertopeng lagi, nak promosikan produk kesihatan pula, nampak tidak sesuai tetapi imej saya ini bukanlah penghalang.

“Bagi saya, kesihatan itu satu keutamaan tambahan pula dengan pengalaman dilalui anak saya. Sebab itu dalam setiap persembahan, selain pesan jangan tinggalkan solat, saya akan ingatkan supaya jaga kesihatan,” katanya ketika ditemui di Johor Bahru, baru-baru ini.

Tujuh tahun berhenti merokok

Selain anaknya yang menjadi sebab dia menerima tawaran itu, kurangnya kesedaran dalam soal kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia juga antara sebab Bandi mahu membantu dalam memberi kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan.

Dia mengakui sudah tujuh tahun berhenti merokok apabila memikirkan kesihatannya, tambahan pula dengan usia mencecah 53 tahun, sudah tiba masanya mengajak orang ramai menjaga kesihatan bukan saja golongan tua, tetapi yang muda.

Sementara itu, Azman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif RCC Global (M) Sdn Bhd berkata, pemilihan penyanyi rock sebagai duta produk syarikatnya dilihat tiada salahnya, sebaliknya lebih melihat kepada mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat.

“Bagi saya, kita tidak boleh menilai seseorang dari luaran. Tak semestinya rock itu hanya negatif saja. Tak semua rocker begitu.

“Mereka wajar diberi peluang. Bandi pula bagi saya, kriterianya yang mudah mesra membuatkan saya terpikat menjadikannya duta produk syarikat.

“Bandi seorang yang bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam kerja, malah dia sangat mementingkan kesihatan,” katanya.

Tak mahu buat album lagi

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Bandi berkata, dia kini masih memenuhi undangan persembahan pentas selain dalam perbincangan untuk mengeluarkan lagu baru yang diterbitkan seorang komposer Singapura.

“Baru-baru ini ada komposer Singapura yang mahu saya nyanyikan lagu barunya iaitu satu lagu rock, tetapi saya masih belum mengesahkannya.

“Dia minta pendapat mengenai lagu baru itu dan bagi saya melodinya sedap, tetapi saya mahu nyanyi mengikut ‘style’ saya. Itu tidak boleh ubah.

“Sekarang ini, kalau orang suruh saya buat album saya tak mahu sebab susah hendak jual. Saya juga bukan tak mahu buat single, tetapi setiap kali buat persembahan orang masih nak dengar lagu lama saya.

“Insya-Allah, saya akan fikirkan mengenai single terbaru,” katanya yang mempunyai 13 album bersama Amuk sejak 1998.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.