Berita Terkini
recent

Ayda Jebat terkejut

PENYANYI dan pelakon Ayda Jebat teruja apabila dicalonkan dalam pencalonan awal kategori SEA Social Wildcard (Malaysia) mewakili rantau Asia Tenggara ke Anugerah MTV Europe Music Awards 2017 yang akan diadakan di London pada 12 November ini.

Turut bersaing dalam kategori itu ialah Raisa dari Indonesia; The Ransom Collective (Filipina); Sezairi (Singapura) dan Palitchoke Ayanaputra (Thailand) .

Ayda ketika dihubungi menyifatkan pencalonan itu sebagai satu kejutan dan sesuatu yang di luar jangkaan.

"Kali pertama melangkahkan kaki ke dalam bidang nyanyian, saya tidak pernah meletak harapan yang terlalu tinggi. Cukup sekadar lagu saya diterima baik selain berkongsi genre muzik yang saya minat.



"Bagaimanapun apabila nama saya dicalonkan dalam anugerah ini, saya sangat teruja kerana dapat membawa nama Malaysia ke peringkat global.

“Sebenarnya saya berasa tidak percaya apabila dimaklumkan mengenai pencalonan awal ini. Maklum sahaja, MTV EMA adalah anugerah muzik yang begitu popular di peringkat antarabangsa.

“Justeru, saya berharap supaya peminat dan seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan undian yang boleh dilakukan secara percuma di laman Twitter,” katanya.

Undian di Twitter perlulah dihantar berserta hashtag #NominateAydaJebat dan #MTVEMA sebelum 3 Oktober depan jam 7 pagi.

Tahun lalu, penyanyi Yuna dan kumpulan Bunkface dicalonkan menerusi kategori Artis Asia Tenggara Terbaik pada MTV EMA2016.

Bagaimanapun, kategori terbabit diungguli penyanyi dari Vietnam iaitu Dong Nhi.
Powered by Blogger.