Berita Terkini
recent

Aktif buat kebajikan

Berada dalam lingkungan warga seni membuatkan pelakon dan bekas peserta Maharaja Lawak Mega 2013, Zarina Mohd Nor, memahami dan melihat betapa peritnya hidup sesetengah artis yang begitu sukar menjalani kehidupan harian, malah ada yang tidak memiliki wang untuk membeli makanan.

Sehubungan itu, Zarina yang juga Bendahari Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dengan ahli jawatan kuasa lain dan presidennya, Zed Zaidi sentiasa mencari jalan untuk membantu mereka terutama golongan veteran.

Menurut Zarina, industri seni negara kita berbeza dengan di Barat. Di sini apabila semakin berusia, mereka dipinggirkan dan jika diambil berlakon bayaran yang diberi tidak setimpal dengan pengalaman, bakat dan kemampuan mereka.

Jadi, Zarina yang berpengalaman dalam penganjuran dan pengurusan acara bersama Seniman sentiasa berusaha mengadakan pelbagai program yang boleh menjana kewangan untuk persatuan itu supaya wang dikumpul boleh diagihkan kepada ahli yang memerlukan.

“Hiba hati saya apabila ada artis mengadu tiada duit nak beli beras dan dengan baki tenaga yang tidak seberapa, apalah sangat kerja yang mereka boleh lakukan untuk menampung kehidupan?

“Syarikat produksi juga semakin jarang mengambil mereka berlakon. Luluh hati saya apabila melihatkan keadaan mereka. Sebab itu juga dalam apa jua acara anjuran Seniman pasti kami sediakan sedikit wang sumbangan terutama menjelang musim perayaan,” katanya.

Menyingkap latar diri Zarina, dia pernah berkhidmat sebagai pramugari sebelum berhenti kerja dan menyertai dunia hiburan tanah air untuk mencuba bakatnya sebagai pelakon serta pelawak. Bagaimanapun, dia mengakui kurang mendapat pendedahan membuatkan dirinya kurang dikenali ramai.

Namun, Zarina tidak pernah mengeluh kerana dia yakin rezeki Allah SWT ada di mana-mana. Oleh itu, tanpa bergantung sepenuhnya punca rezeki daripada dunia lakonan dia turut ligat dalam pelbagai bidang lain.

“Walaupun tidak banyak tawaran berlakon, kerjaya seni ini akan saya teruskan juga kerana sudah minat ke arah itu. Saya bersedia membawakan apa saja watak,” katanya.

Terbaru, Zarina kini berada di lokasi penggambaran drama akademi ketenteraan lapan episod berjudul Gempur Wira di Kuantan, Pahang.

Dalam drama terbitan Teknik Jaya Global Sdn Bhd itu, Zarina memainkan peranan sebagai Leftenan Yasmin berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Watak berpakaian seragam memang menjadi idaman saya kerana masih lagi terbawa-bawa keseronokan sebagai pramugari dulu. Mereka yang mengenakan pakaian seragam kelihatan segak, cantik dan kemas.

“Terima kasih kepada penerbit drama itu, Acio (Abdul Rashid Ahmad Dahalan) yang memberi peluang kepada saya untuk muncul dalam terbitan drama pertamanya itu dan saya akan melakonkan peranan yang diberi dengan sebaik mungkin.

“Tambah menarik memegang watak sebagai Leftenan Yasmin, ada babak dalam kapal dan saya tidak sabar ‘berkhidmat’ atas kapal itu nanti,” katanya.

Drama itu dijangka ditayangkan di TV1 pada November ini.
Powered by Blogger.