Berita Terkini
recent

Aishah berendam air mata

Baru setahun berlakon, Aishah Azman, 21, sudah bersedia mencabar dirinya membawakan peranan berat dan sarat dengan air mata.

Lantaran itu, Aishah dengan rasa gembira dan teruja menerima tawaran daripada pengarah Amor Rizan untuk memegang teraju utama dalam drama 20 episod yang berjudul Cinta Hati Batu. Wataknya sebagai Anith Fitriah sangat berat yang memerlukannya sentiasa berendam air mata. Selepas bekas tunangnya meninggal dunia, ibu bapanya memaksa Anith berkahwin dengan Dzul Ehsan (lakonan Ashraf Muslim) dengan alasan supaya dia dapat melupakan lelaki itu.

Bersetuju dengan rancangan keluarganya namun Anith meletakkan syarat yang kesannya melukakan hatinya sendiri.

Ketika ditemui di lokasi pengggambaran drama itu baru-baru ini, menurut graduan Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini, dia mahu membawakan watak berat kerana ingin melihat sejauh mana kemampuannya dalam menghayati watak sebegitu.


“Saya mahu memulakan kerjaya lakonan dengan melakonkan watak berat kerana ia satu proses pembelajaran yang sangat bagus. Jika berjaya membawanya, saya yakin selepas ini boleh melakonkan apa saja watak yang diberikan dengan baik.

“Watak Anith sangat berat kerana dia seorang yang suka memendam perasaan dan bagi mendalami isi hati Anith, saya banyak belajar cara lakonan Nabila Huda dalam drama Dendam Aurora. Amor juga banyak memberikan tunjuk ajar dan pesannya lakonan yang bagus mestilah datang daripada ‘dalam’ agar penonton dapat sama rasa apa yang dirasakan watak itu,” katanya.

Pengalaman baru juga apabila kali pertama Aisyah digandingkan dengan Ashraf Muslim yang mempunyai pantang larang ketika berlakon.

“Amor sudah beritahu saya tiada babak bersentuhan antara saya dengan Ashraf. Oleh itu dia mahu saya menunjukkan segala keresahan dan kesedihan menerusi emosi agar penonton faham pergolakan yang berlaku di antara kami. Memang berat tetapi dengan kerjasama daripada semua pelakon terbabit, dapat juga saya melakonkan watak Anith dengan baik,” katanya.

Masih muda dan belum pernah menempuh alam rumah tangga, Aisyah merujuk kepada ibunya cara memainkan peranan sebagai isteri dan menghadapi perceraian.

“Saya perlu ada sumber rujukan agar saya tahu arah tuju watak itu dan tidaklah ia terawang-awangan,” katanya.

Sebelum berlakon dalam Cinta Hati Batu, Aisyah muncul dalam drama Bagaikan Kelip-Kelip dan Namaku Bedah.

Wajah garang

Kepada mereka yang kali pertama berjumpa Aisyah pasti terdetik di hati ‘sombongnya dia’ dan adik kepada pelakon Afiq Muiz itu tidak menafikannya.

“Saya tahu ada yang kata saya sombong dan berlagak. Saya terima saja komen itu seadanya kerana mereka tidak betul-betul kenal siapa saya. Pada pertemuan pertama orang boleh menganggap kita apa saja dan sebab itulah wujudnya pepatah lama ‘kalau tak kenal maka tak cinta’. Karakter saya biasa saja dan agak ‘gila-gila’ cuma muka nampak serius sikit,” katanya.

Walaupun Aisyah tidak mahu menumpang nama abangnya namun dia tetap mendapatkan pendapat daripada pelakon itu untuk menjadi anak seni yang bagus dan dihormati ramai.

“Dunia seni nampak saja indah namun hakikatnya, ia beronak duri. Abang yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni tanah air sudah terlalu ‘fasih’ dengan selok-belok dan dugaan yang perlu dihadapi, jadi kenalah saya dapatkan tip daripadanya,” katanya.

Selepas selesainya penggambaran Cinta Hati Batu, sekali lagi Aisyah akan bekerja dengan Amor dalam drama terbaru pengarah itu. Kali ini dia akan membawakan watak gadis Muslimah yang berperwatakan lemah lembut.
Powered by Blogger.