Berita Terkini
recent

Tak Malu hangat di radio

Meskipun menggemari genre balada, Farisha Irish, 18, sedikit pun tidak ralat apabila perlu akur dengan kehendak dan strategi syarikat rakaman.

Bahkan penyanyi muda ini gembira apabila single pertamanya berjudul Tak Malu hangat diputarkan radio dan mendapat maklum balas positif pendengar.

“Kalau ikutkan saya kurang menggemari genre free pop atau ala-ala K-Pop kerana lebih sukakan nyanyian mendayu irama balada. Lagu yang disampaikan Dayang Nurfaizah adalah jenis muzik kesukaan saya.

“Namun, saya akur dengan kehendak syarikat rakaman yang barangkali melihat saya terlalu muda atau konsep lagu sebegitu agak berat untuk saya.

“Syukur, single Tak Malu mendapat sambutan hangat. Tak sangka lagu ini dapat sambutan meskipun trend muzik sekarang lebih kepada lagu tangkap leleh,” katanya.

Menurut Farisha, Tak Malu dihasilkan Mike Chan dan lirik oleh Omar K itu menarik kerana melodinya ‘catchy’.

Mengimbas pembabitan Farisha dalam arena seni, ia bermula sejak usia 12 tahun lagi. Malah dia pernah muncul sebagai naib juara program realiti Idola Kecil musim keempat terbitan TV9 dan tempat ketiga Ceria Popstar yang disiarkan Astro.

Selain itu, dia pernah mengacarakan program kanak-kanak berbentuk edutainment Teng Teng dan ChiChi & ChaCha. Dia juga pernah tampil dalam drama bersiri Nujum Kenit dan telefilem Tiba Masanya.

Farisha juga pernah meninggalkan bidang ini selama dua tahun apabila menyedar prestasi pelajarannya merosot kerana kurang memberi tumpuan gara-gara terlalu sibuk dunia pengacaraan.

“Dua tahun saya berehat mengacara dan tidak menyambung kontrak ChiChi & CHaCha musim kedua kerana mahu beri perhatian kepada pelajaran.

“Alhamdulillah, pengorbanan itu berbaloi apabila saya diterima melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Alor Gajah, Melaka.

“Dengan jadual kuliah yang masih lagi boleh berkrompomi dengan aktiviti nyanyian ditambah pula jarak perjalanan Melaka-Kuala Lumpur kira-kira satu jam, saya masih mampu membahagikan masa seadilnya,” katanya Farisha yang ditemui di majlis Rumah Terbuka Sony Music Entertainment yang berlangsung di Shah Alam, kelmarin.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Amy Mastura, Midnight Fusic dan artis naingan Sony Music yang lain.
Powered by Blogger.