Berita Terkini
recent

FINAS kenali produksi

Selepas enam bulan menduduki kerusi Ketua Pengarah FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Datuk Fauzi Ayob memulakan langkah baru melalui kempen Jengah Lokasi bermula hujung minggu lalu.

Program menggunakan ‘hashtag’ #JengahLokasi untuk tujuan promosi menerusi media sosial adalah jenama baru FINAS bagi membina jaringan sinergi dua hala bersama pasukan produksi filem tempatan.

Beliau berkata, objektif utama untuk membina komunikasi secara langsung dengan karyawan industri melalui perkongsian ilmu, isu, idea dan aduan bersama produser, pengarah, pelakon dan pekerja belakang tabir.

Ia juga diharap memberi ruang kepada penyampaian maklumat dan memperkasakan lagi aspirasi FINAS sebagai badan pembangunan industri melalui fungsi-fungsi strategiknya.

Program melalui konsep turun padang ke lokasi penggambaran itu memilih lokasi filem terbaru arahan Pekin Ibrahim, KL Wangan di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor sebagai tumpuan pertama.

“Saya percaya konsep turun padang dan berkomunikasi secara langsung bersama rakan sepasukan daripada FINAS sebagai pegawai kerajaan mampu membina jambatan silaturahim antara tenaga produksi.

“Selain memberi maklum balas berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan, dana dan insentif, dasar-dasar kerajaan, wajib tayang, modal insan, pemasaran, produksi, khazanah kandungan, teknologi dan studio dan hal-hal lain lagi, ia juga sebagai tanda bahawa FINAS akan sentiasa cari ruang tanggungjawab dan sokongan kepada industri,” katanya.

Fauzi akui ia memberi ruang kepada FINAS untuk menyelami permasalahan yang wujud dalam kalangan pekerja, penerbit dan pelakon tempatan.

Lawatan itu turut dihadiri Pengarah Pembangunan Industri, Mohd Zulkifli Ab Wahab, Pengarah Galakan Penggambaran, Ahmad Syazli Muhd Khiar, Pengarah Dasar dan Perancangan, Zokifli Abu Bakar, Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasaan, Mohd Fazli Abdul Aziz, pegawai FINAS dan media.

Mereka sempat beramah mesra dengan pelakon asal Indonesia, Donny Alamsyah selain perkongsian maklumat bersama pengarah fotografi, Raja Mukhriz dan kru terbabit.

Kata Fauzi, Jengah Lokasi akan diadakan secara berkala bersama produksi filem yang lain secara santai dan mesra.

Malah itu juga bertujuan untuk membudayakan kepemimpinan bersama rakyat yang menjadi falsafah teras Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi-agensi naungannya.

“Waktu Jengah Lokasi tidak tertakluk pada ‘waktu pejabat’ kerana saya memang sibuk dengan mesyuarat pada peringkat kementerian.

“Sebab itu kami memilih untuk menjengah sebelah malam atau hujung minggu, bergantung kepada tarikh dan jadual penggambaran set filem tempatan. Kami juga akan bekerjasama dengan persatuan berkaitan industri pada masa depan,” katanya.

Bagi produser filem KL Wangan, Sean Rahman dan Rain Aziz, pihaknya berbesar hati kerana program Jengah Lokasi membantu mendekatkan produksi dengan pihak berwajib.

Kata Sean, program berkenaan merapatkan silaturahim mereka dengan FINAS serta menganggap ia platform terbaik untuk menyampaikan sebarang maklumat kepada FINAS.

“(Sebelum ini) payah kerana terlalu banyak protokol perlu dilalui pihak produksi. Sebagai pembikin, mereka nampak FINAS sering berusaha untuk menyantuni produksi melalui pelbagai intensif yang menarik.

“Malangnya kebanyakan hal itu dipandang sebelah mata, malah ada yang langsung tidak diketahui,” katanya.

Sean juga percaya jaringan yang mulai terbentuk melalui program ini secara langsung memberi peluang kepada pihak produksi menyampaikan input dan permasalahan industri.

Ia juga membuka peluang kepada pihak produksi berkongsi cadangan lebih segar untuk sama-sama memajukan industri perfileman tempatan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.