Berita Terkini
recent

Ziana Zain mahu anak-anak pelihara tradisi sambut raya

TAHUN berganti tahun, Aidilfitri tetap dirai meriah. Meskipun di mana sekali pun 1 Syawal diraikan, ia tetap memberi bahagia andai keluarga dan insan tersayang di sisi.

Itulah diluahkan penyanyi kesayangan ramai, Ziana Zain yang sentiasa teruja menyambut raya yang turut dikongsi dengan suami dan empat cahaya matanya yang kini semakin membesar.

Biarpun begitu, kata Ziana, kesederhanaan tetap menjadi pegangan dalam meraikan lebaran agar sambutan tidak berlebihan sehingga berlaku pembaziran.

“Kalau ikutkan seronok, semua benda kita mahu serba baru, tidak kiralah pakaian ataupun persiapan di dalam rumah, tetapi harus kita ingat Aidilfitri bukan semata-mata tentang sambutan sahaja, tetapi ia lebih daripada itu.

“Memang sejak belum kahwin lagi, ibu dan ayah saya sering ingatkan kami tentang perkara itu, dan kini saya turunkan pula pesanan itu kepada anak-anak agar mereka faham tentang konsep beraya itu sendiri,” tegas Ziana.

Mengakui tidak mudah untuk bergelar ibu di zaman serba moden ini, kata Ziana, dia sentiasa menerapkan dalam diri anak-anaknya agar dapat memanfaatkan sambutan hari raya dengan sebaiknya untuk mengeratkan silaturahim dengan keluarga dan saudara-mara.

Mewakili generasi terdahulu, Ziana mengharapkan agar anak-anaknya tidak melupakan tradisi beraya sebagaimana yang diwarisinya sejak zaman berzaman.

“Aidilfitri penting untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, selain perlu dimanfaatkan untuk kenal saudara mara serta kukuhkan ikatan silaturahim.

“Kalau ikutkan trend budak-budak zaman sekarang yang sering mengisi masa lapang mereka dengan gajet, amalan kunjung mengunjungi ini sudah tidak lagi menarik minat mereka dan lebih suka menghabiskan raya mereka di rumah dengan bermain gajet.

“Jadi saya sentiasa ingatkan anak-anak agar sentiasa pelihara tradisi raya kerana raya bukanlah seperti hari-hari biasa yang kita lalui, sebaliknya ia merupakan hari istimewa yang datangnya hanya setahun sekali sahaja,” ujar  Ziana.

Dalam pada itu, Ziana juga mengakui sambutan rayanya setiap tahun semakin meriah apabila anak-anaknya, Muhammad Aiman, 17, Muhammad Ammar, 14, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, 8,  semakin membesar dan turut teruja meraikan lebaran.

“Dulu ketika anak-anak masih kecil, saya siapkan mereka dengan apa pun pakaian raya, mereka akan OK sahaja dan bersetuju dengan cita rasa pilihan saya.

“Tapi sekarang bila semua sudah besar, semuanya jadi kecoh daripada mula nak beli baju raya sehinggalah kepada waktu nak balik raya.

“Anak lelaki pertama dan kedua saya sangat cerewet dalam soal baju raya semenjak dah besar ini, manakala satu-satunya anak perempuan saya pula suka melaram dengan baju raya walaupun masih kecil,” cerita Ziana.

Tangan melecur gara-gara bunga api

Ditanya destinasi hari raya, mereka sekeluarga saban tahun, Ziana menjelaskan, dia dan keluarga tidak ada rutin tetap tentang destinasi raya mereka, sebaliknya sentiasa berubah ikut perbincangan keluarga masa itu.

Apatah lagi kini kesihatan kedua orang tuanya tidak begitu mengizinkan membuatkan Ziana lebih mengutamakan mereka dalam semua perkara.

“Abah dan mak saya sudah tua, walaupun masih sihat, tetapi sihat orang tua macam manalah sangat, jadi saya harus ambil kira keadaan mereka.

“Kebiasaannya pada hari raya pertama kami akan beraya di Shah Alam, jika abah dan mak mahu beraya di Merlimau, Melaka, kami balik kampung pada hari raya kedua atau ketiga dan meluangkan masa selama beberapa hari di sana.

“Walaupun masa berlalu dan zaman pun dah berubah, keseronokan balik beraya di kampung masih lagi jadi sesuatu yang cukup menguja buat saya dan keluarga membuatkan kami benar-benar hargai momen itu,” kata pelantun lagu raya Indahnya Di Hari Raya ini lagi.

Berkongsi aktivitinya ketika pulang ke kampung, kata Ziana, dia cukup suka membawa anak-anaknya bersiar-siar menikmati permandangan indah yang tidak mereka peroleh di bandar.

“Selalunya petang raya, saya akan tunggang motosikal bersama anak perempuan saya, Qaseh akan pusing keliling kampung untuk menikmati keindahan kampung yang masih lagi terpelihara sehingga ke hari ini.

“Ia sudah jadi macam rutin dan anak-anak juga suka dengan aktiviti itu selain meluangkan masa dengan mengunjungi rumah saudara-mara mereka yang semakin bertambah dari tahun ke tahun,” cerita Ziana yang gemarkan ketupat nasi dan kuah kacang sebagai juadah raya pilihannya.

Setiap orang mempunyai kenangan pahit dan manis ketika menyambut lebaran dan begitu jugalah dengan Ziana yang banyak menyimpan cerita rayanya yang tersendiri terutama pada zaman kanak-kanaknya yang penuh dengan warna-warni.

“Pernah suatu ketika dulu ketika saya masih kecil, abah tidak dapat cuti raya dan kami terpaksa beraya di Kampung Melayu Subang pada tahun itu.

“Jadi saya dan sepupu mula merancang aktiviti kami sendiri untuk cari buluh dan buat pelita untuk digunakan sempena raya dan misi itu berjaya tanpa bantuan sesiapapun membuatkan kami rasa seronok.

“Pada zaman kanak-kanak juga, tangan saya pernah melecur gara-gara bermain bunga api sampai lupa diri. Sebenarnya di kalangan adik-beradik, saya paling nakal dan suka buat hal sehingga selalu kena marah dengan abah dan mak,” kenang Ziana lagi.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.