Berita Terkini
recent

ZARA Zya tidak rasa tergugat

Meskipun semakin ramai wajah baru dipertaruhkan dalam industri seni kini, namun ia bukan alasan buat pelakon jelita Zara Zya ditenggelami mereka.

Sebaliknya, dari hari ke hari ada saja buah tangan terbaru daripadanya dan masih kekal utuh menebarkan bakat yang dimiliki kepada penonton.

Menyedari lambakan bakat baru seperti cendawan tumbuh, Zara yang terkenal menerusi drama bersiri Tuan Anas Mikael itu tidak pernah berasa tergugat dengan situasi itu, sebaliknya menganggap percaturannya memilih bidang seni sebagai kerjaya utama adalah langkah tepat.

“Alhamdulillah, saya masih diberi kepercayaan membawakan pelbagai watak sehingga ramai yang ternantikan naskhah saya seterusnya. Saya akui gembira dan teruja dengan maklum balas peminat. Oleh itu, saya sentiasa mengekalkan momentum seni saya dengan sentiasa aktif di laman Instagram supaya nama terus bertakhta di hati mereka

“Malah, sejak membabitkan diri dalam dunia lakonan, saya sentiasa mengelakkan sikap ‘demand’ atau memilih watak. Bukan tidak mementingkan setiap watak yang diterima, tetapi saya percaya pemilihan bagi sesuatu karakter itu bersebab,” katanya.

Ditanya apakah resipi kejayaan yang membuatkan dirinya menjadi dambaan ramai dalam setiap watak yang dibawa sehingakan penonton jatuh cinta dengan setiap karakter dilakonkannya, Zara memberitahu, tiada apa yang ‘diamalkan’ melainkan jujur dalam setiap watak diterima.

“Saya seorang yang ringkas dan jujur dalam setiap watak diberikan. Tiada paksaan dilakukan untuk membawakan sesebuah karakter itu.

“Cuma dalam setiap drama yang dibintangi, saya akan pastikan keadaan persekitaran saya itu berada dalam situasi yang baik dengan mengekalkan hubungan baik dengan pelakon, kru produksi dan pengarah. Barangkali itu membuatkan setiap kerja yang berlangsung berjalan lancar dan disenangi pelbagai pihak,” katanya.

Siapa sangka, walaupun sibuk dengan jadual seni yang padat, Zara tetap mencuri masa dengan melakukan aktiviti baru yang menjadi minatnya saat ini.

Kata Zara, dia kini semakin aktif berkongsi resipi masakan kepada peminatnya dan membuka satu akaun Instagram khas iaitu @zarazyacooks untuk peminatnya belajar memasak.

“Pada mulanya, saya hanya berkongsi video memasak kepada peminat di Instagram peribadi. Namun, lama-kelamaan saya menerima maklum balas positif daripada peminat dan meminta saya untuk mengajar menu seterusnya.

“Malah, mereka juga meminta saya membuka akaun khas untuk berkongsi video cara masakan dan resepi tradisional untuk mereka cuba.

“Alhamdulillah, bukan hanya peminat, malah rakan artis juga turut tertarik dengan idea itu membuatkan saya berkongsinya hampir setiap hari kepada peminat,” katanya.

Selain itu, Zara juga aktif mempromosikan perniagaan produk pelangsingan badan, Trimz Lotion yang juga untuk kegunaan sendiri bagi mengekalkan berat badannya.

Menyentuh mengenai produk yang menggunakan modal duit hasil titik peluhnya, Zara kini mampu tersenyum manis apabila produk terbabit sudah terjual 10,000 botol dalam masa berapa bulan.

“Produk ini memang 100 peratus milik saya tidak kongsi dengan orang lain. Serik pernah ditipu sebelum ini. Jadi sekarang saya buat produk sendiri dan menjualnya dan ia lebih puas hati,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.