Berita Terkini
recent

Zahid kekal R&B

Dengan populariti lagu ‘leleh’ sekarang, juara Akademi Fantasia 2 (AF2), Zahid memutuskan untuk tidak mengikut ‘trend’ itu sebaliknya terus percaya dengan hala tuju muziknya.

Terbaru, dia bakal melancarkan single ciptaan Omar K dan gembira dengan keputusan mengekalkan genre R&B selain rap.

Ada terfikir untuk mencuba lagu jenis balada 1990-an, penyanyi Wo!!! itu bagaimanapun melupakan hasrat berkenaan atas dasar prinsip diri.

“Lagu genre leleh sangat mendapat sambutan sekarang dan saya pun tergoda juga mencuba genre berkenaan.

“Bagaimanapun, apabila difikirkan semula, saya membesar dengan lagu itu dan sudah puas mendengar genre muzik begitu. Kemudian, tiba-tiba sekarang jadi kegilaan balik.

“Lebih baik saya fokus kepada muzik yang saya perjuangkan selama ini. Kalau saya mengikut ‘trend’ bermakna saya sudah tewas dalam perjuangan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai single yang berjudul Dikir Gila Gempak itu, Zahid tidak sangka pertama kali bekerjasama dengan Omar K memberikan hasil memuaskan.

Menurutnya, dia memang inginkan kelainan dalam lagunya kali ini dan seronok bekerja dengan komposer terbabit.

“Saya sebenarnya ditawarkan pihak label untuk memilih mana-mana komposer yang diingini. Mula-mula saya cadangkan Audi Mok yang selama ini memang sudah banyak bekerja dengan saya.

“Apabila mereka mencadangkan Omar K, saya terus setuju apa lagi dia sendiri anak didik Audi. Lagipun, setahu saya Omar dan pasukannya antara yang terbaik dalam industri muzik sekarang.

“Terbukti benar kerana bekerja dengannya sangat mudah. Dia juga mudah menerima segala pendapat yang saya utarakan untuk menjadikan lagu berkenaan lebih menarik.

“Saya sangat gembira dengan kolaborasi itu apabila lagunya memang cukup menarik baik daripada segi lirik mahupun susunan muzik. Ia juga relevan dengan situasi sekarang dan penuh sindiran,” katanya.

Selepas meninggalkan kerjayanya sebagai penyampai radio di ERA fm tidak lama dulu, kini Zahid kembali ke konti untuk mengendalikan Viral Radio dalam aplikasi Raku.

Yang pasti, Zahid gembira kerana masanya kini lebih fleksibel memandangkan dia boleh melakukan kerja dari rumah.

“Saya melihat tawaran ini sesuatu yang cukup tepat buat saya. Ia sebuah radio yang kami kendalikan sepenuhnya dan berkisar hal viral masa ini.

“Lebih istimewa, kami boleh mainkan lagu mengikut cita rasa kami selain lagu yang sememangnya jadi kegilaan sekarang.

“Biarpun siarannya setiap hari, ia tidak mengganggu langsung masa senggang kami kerana dari rumah pun boleh buat kerja.

“Sekali gus, banyak masa boleh digunakan untuk fokus kepada aktiviti lain baik kerjaya nyanyian mahupun perniagaan,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.