Berita Terkini
recent

Wujud pula tabung 'palsu' Saleem

KELUARGA Saleem Iklim kecewa apabila ada pihak cuba mengaut keuntungan mudah dengan mewujudkan tabung bantuan untuk penyanyi itu tanpa pengetahuan mereka.

Anaknya, Khairul Nizam, 35, berkata, mereka dapat mengesan kegiatan individu yang mengaku mewakili persatuan tertentu kononnya menubuhkan tabung bantuan untuk bapanya itu.

"Baru-baru ini saya dan ibu dihubungi individu yang bertanyakan lokasi hospital tempat bapa dirawat.

"Apabila ditanya apa tujuannya, dia memberitahu mewakili satu persatuan dan sudah membuat kutipan dana untuk bapa. Apabila ditanya mengenai persatuan itu, dia tergagap-gagap dan terus menamatkan panggilan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Khairul Nizam, ibu saudaranya juga ada mengesan individu yang memuat naik status sedang membuat kutipan dana untuk Saleem di laman sosial, baru-baru ini.

Bagaimanapun, ia sudah dipadamkan sebelum mereka sempat melakukan ‘screenshot’.

"Saya meminta sesiapa yang hendak menyumbang bantuan buat bapa, datang terus ke hospital berjumpa kami seperti dilakukan Persatuan Seniman dan Yayasan Artis 1Malaysia," katanya.

Khairul Nizam berkata, mereka amat terkilan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak itu dan tidak teragak-agak membuat laporan polis.

"Mengapa perlu menggunakan nama bapa bagi mengaut keuntungan sendiri? Saya sendiri akan buat laporan polis supaya perkara ini tidak terus berleluasa.

"Saya tidak mahu nama bapa dipergunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan mengaut keuntungan secara mudah," katanya.

Mengulas perkembangan terkini Saleem yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Khairul Nizam bersyukur kerana Saleem semakin sembuh dan sudah dipindahkan ke wad biasa sejak semalam.

"Alhamdulillah keadaan kesihatannya bertambah baik. Selera makannya sudah kembali normal, cuma dia masih lemah tetapi dalam keadaan stabil.

"Kami hanya menunggu keputusan doktor sama ada perlu dibuat pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bawah perutnya," katanya.

Menurutnya, jika kesihatan Saleem bertambah baik, dia mungkin dibenarkan keluar minggu ini.


ot;1" />
Powered by Blogger.