Berita Terkini
recent

Toy muncul dengan Memori Cerita .

Dua kali kehilangan vokalis, Ronnie Hussein dan Kecik atau Mohamad Fauzi Kamarudin, akhirnya ketua kumpulan Hyper Act, Toy memilih untuk bergerak secara solo apabila muncul dengan single Memori Cerita.

Toy atau Khairul Nizam Baharom yang juga pemain bass dan vokalis kedua Hyper Act akui keputusan untuk bergerak solo adalah atas permintaan peminat.

Katanya, sebelum menubuhkah Hyper Act mungkin ramai yang tahu bakat nyanyiannya pernah digilap dalam Akademi Fantasia 6 (AF6). Cuma selepas itu dia tidak meneruskan karier nyanyian secara solo tetapi bergerak dengan berkumpulan.

“Untuk 2017, saya terfikir sudah tiba masanya untuk bergerak sendiri dengan single solo. Selain projek ini, saya juga bekerjasama dengan tiga pemuzik berpengalaman tanah air secara ‘band project’.

“Terus terang untuk segala aktiviti promosi single Memori Cerita di media cetak, memang saya akan urus sendiri tetapi apabila membabitkan undangan persembahan pentas saya akan muncul bersama anggota ‘band project’ ini.

“Tiga orang anggota ‘band project’ saya ialah Jedidah Wong atau JD Wong sebagai pemain gitar, Andrew Tan Lin Xiang (Andrew Tan, pemain bass) dan Ryan Lee Bhaskaran (Ryan Lee, dram),” katanya.

Toy yang bertindak sebagai vokalis berkata, dia memilih untuk bergerak solo dengan kerjasama ‘band project’ itu kerana yakin dengan kemampuan diri.

“Meskipun saya masih anggota Hyper Act, masih ada ruang buat saya untuk berkarya secara solo. Apatah lagi selama bersama Hyper Act, memang saya hendak dikenali sebagai seorang pemuzik daripada dalam kumpulan itu. Saya juga mencipta dan menerbitkan lagu untuk Hyper Act,” katanya.

Mengenai Memori Cerita, lagu itu adalah hasil ciptaan Toy dan lirik oleh Eyza Bahra. Kata Toy, lagu itu diciptanya tiga tahun lalu ketika mengikuti bengkel Cipta Ekspres MACP 2014.

“Bengkel anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) selama tiga hari di Port Dickson itu menggandingkan saya dengan Eyza.

“Kiranya ia kerjasama kilat buat kali pertama di antara saya dan Eyza dalam berkarya sebagai penggiat seni muda,” katanya.

Kata Toy, pada 2013 dia juga pernah menghasilkan single solo, Rindu Pengubat Luka yang menjadi lagu tema drama Kerana Sarah di TV3.

“Minat saya terhadap bidang muzik memang sangat mendalam. Apapun, saya mengharapkan lagu Memori Cerita berjaya menambat hati peminat.

“Saya yakin gabungan genre pop alternatif yang diketengahkan dalam lagu ini mampu memenuhi cita rasa pendengar,” kata bapa dua cahaya mata ini.

Bagi menggiatkan promosi Memori Cerita, Toy akan menyiapkan lirik video lagu itu untuk dimuat naik ke YouTube.

Katanya, setakat ini maklum balas yang diterima untuk lagu Memori Cerita di laman sosial Instagram (IG) sangat positif dan menggalakkan.

“Kebanyakan netizen yang menjadi pengikut IG saya selalu bertanya bila lirik video lagu Memori Cerita akan dimuat naik ke YouTube.

“Mereka (netizen) juga tertarik dengan melodi dan lirik dihasilkan. Cuma di dalam IG lagu tidak boleh dimuat naik sepenuhnya,” katanya.

Mengenai Hyper Act, anak jati Johor yang mahir bermain alat muzik angklung ini berkata, kumpulan itu masih wujud.

Katanya, biarpun pelbagai dugaan dilalui Hyper Act ia tidak pernah melunturkan semangat mereka yang kini dalam perancangan muncul dengan single terbaru.
Powered by Blogger.