Berita Terkini
recent

Tonjol bakat ke Indonesia

Lima tahun mencanai bakat, penyanyi Hazman Al-Idrus atau nama penuhnya Syed Muhammad Hazman Syed Yusof, 29, bersyukur mendapat pelbagai peluang baru dalam kariernya.

Bekas peserta rancangan D’Academy Asia cukup teruja apabila berpeluang menonjolkan bakatnya di persada seni Indonesia.

Bahkan, peluang membintangi dua telefilem seberang berjudul Aku Hanya Butuh Maaf Anakku dan Jodoh Di Tangan Ilahi membawa perubahan besar dalam hidupnya.

“Tak sangka peluang sebegini datang sebaik saya tersingkir D’Academy Asia. Sudah semestinya saya tidak mahu melepaskan tawaran keemasan ini.

“Berlakon di bawah produksi seberang menjadikan kerja saya lebih mudah. Cabaran terbesar adalah menguasai bahasa Indonesia.

“Bagaimanapun, mereka sangat membantu dalam segala hal selain waktu penggambarannya pun tidak lama iaitu hanya tiga hari. Sepanjang penggambaran, saya dapat lihat perkembangan dalam mutu lakonan saya,” katanya.

Alang-alang mendapat peluang itu, Hazman berharap dapat kembali ke Inodnesia sementara peminat di sana masih mengingatinya.

Bagaimanapun, dia tidak menolak tawaran di negara sendiri dan kini berusaha mencari peluang mengasah bakat sebagai pelakon.

“Saya teringin ke Indonesia lagi untuk mengembangkan karier nyanyian dan lakonan di sana. Meskipun belum pasti bila, ada perancangan ke arah itu.

“Pada masa sama, saya akan menghadiri uji bakat produksi di sini. Harap ada yang sudi beri peluang kepada saya dalam masa terdekat,” katanya yang mengakui kurang dikenali di negara sendiri.

Mahu jadi penyanyi rock balada

Bercerita lanjut hala tuju muzik, Hazman yakin rock balada adalah genre paling cocok buat dirinya meskipun pernah menyertai pentandingan pentas dangdut.

“Genre ini yang terbaik untuk diri saya. Ia lebih sesuai jika mahu pergi jauh selain saya memang pencinta lagu berentak 90-an.

“Selera pendengar sekarang sukar diduga, jadi saya kena teliti dalam menentukan genre yang bakal dibawa.

“Saya berharap lagu nyanyian saya boleh jadi sehebat lagu kumpulan Wings dan May yang masih digilai ramai hingga ke hari ini,” katanya.

Bergerak sendiri sejak awal tahun ini, Hazman juga sudah ada komposer pilihan hatinya. Bagaimanapun, dia tidak mahu tergesa-gesa menghasilkan single selagi belum bertemu material terbaik.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.