F Tiz tekad tahan gigil | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Tiz tekad tahan gigil

Beberapa tahun lalu pelakon Tiz Zaqyah, 28, pernah berkongsi bakat nyanyiannya melalui beberapa laman sosial seperti Keek dan YouTube.

Biarpun ia sekadar lagu saduran penyanyi popular, kebanyakan peminat berpendapat pelakon yang mula dikenali melalui drama Nur Kasih itu mempunyai bakat sebagai penyanyi.

Untuk membuktikan kemampuan, Tiz atau Siti Zaqyah Abdul Razak pernah berduet bersama Yassin untuk lagu runut filem Nur Kasih pada 2011. Masa pun beredar, bakat nyanyian itu seolah dilupakan sehinggalah ada yang mulai rindu mendengar lontaran vokalnya yang serak basah.

Ditemui baru-baru ini, Tiz akui memang minat muzik tetapi ‘jiwa’ tiada. Malah dia mempunyai perasaan gemuruh apabila berada di pentas.

“Belum menyanyi lagi badan sudah menggigil. Sebab itu juga saya sering menolak tawaran berlakon teater kerana tidak berani berdiri di pentas dan disaksikan secara langsung ratusan atau ribuan penonton,” katanya.

Kata Tiz, untuk maju dia tidak boleh terus berada dalam zon selesa. Dia harus keluar untuk mencuba kerjaya baru selain berlakon.

“Sebenarnya selain ingin cuba menyanyi, saya juga mempunyai keinginan mengacara tapi tidak pandai,” katanya ringkas disulam ketawa.

Biarpun nada jawapan seolah-olah tidak serius, dia tetap berharap satu hari nanti mempunyai kekuatan merealisasikan impian itu. Lebih penting, katanya ada seseorang yang boleh mendorongnya ke arah itu secara serius.

Pelakon drama Lara Cinta Ameena dan Kusinero Cinta turut menyimpan impian untuk berlakon dalam filem atau drama genre biopik yang mengangkat tokoh sejarah.

Katanya, keinginan itu kerana percaya watak perlu dibawa seorang pelakon dalam genre itu bukan mudah dan sangat mencabar.

“Untuk bawa watak itu perlukan kajian mendalam supaya karakter sama dengan jalan cerita asal. Namun saya juga perlu selektif dengan tawaran dan skrip demi kepuasan berlakon,” katanya.

Menurutnya, ramai beranggapan dia kurang tawaran berlakon dan memilih untuk mengehadkan penampilan di televisyen.

Hakikatnya, kata Tiz, tidak keluar TV bukan bermakna dia tidak bekerja. Dia baru sahaja tamat penggambaran projek khas sempena merdeka.

“Tawaran berlakon tidak pernah putus tapi banyak terpaksa ditolak kerana sejak dulu tidak suka melakukan banyak kerja dalam satu masa,” katanya.

Terbaru, Tiz menjayakan supertelefilem Memori Pajeri Nanas bersama Alif Satar dan Siti Saleha. Katanya, dia gembira diberi peluang menjayakan supertelefilem itu kerana jalan ceritanya berbeza dengan mana-mana drama atau filem yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

“Jalan ceritanya berkisar mengenai perihal rumah tangga yang jarang disampaikan dalam cara yang lebih jelas. Selain jalan cerita menarik, ini kali pertama saya dapat berlakon dengan Alif dan dia seorang sangat bagus dan menjiwai watak dengan baik,” katanya.

Memori Pajeri Nanas boleh ditonton menerusi tempahan di Astro First Eksklusif saluran 480 bermula 20 Julai lalu.

Pernah dikaitkan dengan pelakon Remy Ishak, anak VIP dan tahun lalu bercinta dengan teman baik dikenali sebagai Daniel Haziq, Tiz akui pada masa ini dia lebih senang tiada sebarang hubungan istimewa.

Katanya, dia masih solo dan kali pertama tiada berteman pada tempoh yang lama (hampir setahun).

“Namun begitu, saya sudah boleh teruskan kehidupan seperti biasa. Soal ada jodoh atau tidak, saya positif. Saya tiada masalah untuk berkawan dengan bekas teman lelaki,” katanya.

Walaupun optimis dengan hidup sendiri tanpa teman lelaki, dia akui seorang pencinta yang setia andai diberi peluang sekali lagi untuk menyemai cinta.

Katanya, fokus utama kini ialah kerjaya lakonan dan merealisasikan beberapa impian lain. Pada usianya kini, Tiz akui ramai rakannya sudah mendirikan rumah tangga. Malah ada juga yang mula bertanya pasal jodoh.

“Ia tidak memberikan tekanan kepada saya. Saya lihat ramai wanita yang lambat berkahwin pada masa ini. Peningkatan umur tidak saja mengubah fizikal tetapi cara berfikir.

“Jika dulu saya terbuka untuk berkongsi kisah cinta tapi rasanya selepas ini, lebih senang untuk rahsiakan saja,” katanya serius.
ot;1" />
Powered by Blogger.