Berita Terkini
recent

Tiada Niat Mahu Viral - Zila Bakarin

Penampilan aktres Zila Bakarin, 42, yang menggayakan baju Melayu bersama keluarganya pagi 1 Syawal lalu, menarik perhatian netizen sehingga gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya menjadi tular.

Memetik laporan mStar online, Zila berkata dia sengaja memilih persalinan tersebut tanpa sedikit pun menyangka ia akan menjadi heboh.

"Bagi saya tiada yang peliknya dengan persalinan tu apatah lagi bagi mereka yang kenal siapa Zila Bakarin. Mereka tahu saya seorang yang sempoi dan akan pakai apa sahaja yang saya rasakan selesa. Tak niat suruh viral pun.

"Dalam hal ini, saya beruntung kerana suami dan anak-anak tidak cerewet dan sangat sporting dengan idea spontan ini malah langsung tidak membantah.

"Tahun ni saya berbaju Melayu dan jangan terkejut kalau raya tahun depan suami berbaju kurung Kedah pula (ketawa). Tapi dipadan dengan seluarlah..." katanya.

Menerusi gambar yang dimuat naik Zila pada pagi raya pertama tersebut, dia bersama suami, Azri Azhar serta dua anak perempuan mereka, Kaseh, 8, dan Cinta, 5, mengenakan persalinan baju Melayu teluk belanga aneka warna yang di beli di BMO Dagang Avenue, Ampang seminggu sebelum menjelang sambutan Aidilfitri.

Tambahnya lagi, sejak ia menjadi tular, dia turut menerima banyak reaksi peminat dan rakan-rakan artis yang rata-ratanya positif memberi komen.

"Setakat ini tiada komen menyakitkan hati yang saya terima daripada netizen sebaliknya mereka memuji keberanian kami mencari kelainan yang sekali gus mewarnakan lagi cerita raya pada tahun ini.

"Malah ada juga rakan-rakan artis secara berseloroh menyifatkan saya buang tabiat, tapi saya tau mereka mengusik dan tak ambil hati!" ujarnya ketawa kecil.

Dalam pada itu, Zila sendiri mengakui dalam koleksi pakaiannya, dia tiada baju kurung cantik yang 'meriah' bermanik selain hanya koleksi baju kurung Kedah berkain kapas.

"Sejujurnya itulah yang perlu saya akui malah sebelum ini pun, dalam almari memang sudah ada dua pasang baju Melayu teluk belanga yang saya sering pakai pada hari Jumaat dan kalau dilihat, ia tak nampak seperti baju Melayu pun apabila dipakai bersama kain. Macam baju kurung Kedah juga," katanya.

Mengenai perkembangan lakonan, Zila kini sedang menjalani penggambaran drama 100 episod iaitu Dendam Aurora yang akan ditayangkan pada penghujung Julai ini menerusi saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (123).

ot;1" />
Powered by Blogger.