Berita Terkini
recent

Tekad bangkit semula

Selepas empat tahun tidak muncul dengan lagu baru, ramai tertanya-tanya mengenai perkembangan juara Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar.

Ketika ditemui baru-baru ini, pemilik nama sebenar Norhasmidar Ahmad itu menjelaskan dia banyak terbabit dengan persembaham di dalam dan luar negara.

Terbaru ini, Asmidar baru kembali dari Seoul, Korea Selatan selepas membuat persembahan di Pesta Lagu Asia apabila dia menyampaikan tiga lagu iaitu Ghazal Untuk Rabiah, Mustika dan Ala Donde Si Donde.

“Dulu sewaktu masih di bawah Warner Music, saya tiada masalah mencari bahan untuk lagu baru.

“Kini, kontrak dengan syarikat rakaman itu sudah tamat dan saya banyak fokus terhadap persembahan lagu.

“Tidak dinafikan apabila sudah lama tidak muncul dengan karya baru, orang akan mula melupakan nama.

“Tambahan pula, industri muzik sekarang semakin meriah dengan kehadiran penyanyi baru,” katanya kepada RAP.

Anak seni berusia 31 tahun ini mahu bangkit semula dan merancang menghasilkan lagu baru.

“Kali ini, saya mahu mengetengahkan kelainan dalam lagu baru dan bukannya lagu balada yang sedih.

“Oleh kerana saya memulakan karier sebagai penyanyi tradisional, saya akan menyelitkan elemen genre itu dalam lagu baru.

“Saya cuma mahu menjadi diri sendiri kerana sebenarnya jiwa bukan pada muzik balada,” katanya.

Bercerita pengalaman mewakili Malaysia di Pesta Lagu Asia, penyanyi Bila Cinta Ada ini berkata, penduduk Korea Selatan sangat menghargai lagu tradisi dan memberi sambutan hangat terhadap persembahannya.

“Saya berpeluang menyanyi dan diiringi okestra yang bermain alat muzik tradisional dari negara itu. Pengalaman memang menakjubkan dan daripada apa saya perhatikan, rakyat negara itu sangat menghargai lagu tradisi.

“Walaupun bukan penyanyi nama besar, saya cukup gembira apabila orang luar menghargai persembahan saya.

“Namun, situasi itu berbeza dengan Malaysia yang kebanyakan rakyat sekarang sukar menerima lagu tradisi,” katanya.

Dalam pada itu, Asmidar berharap pendengar tanah air bersikap terbuka dan dapat menerima muzik tradisional seperti penduduk di negara lain.

“Saya sudah membuat eksperimen menggabungkan lagu pop dengan elemen tradisional bersama kumpulan Suri Chemara.

“Diharapkan pendengar dapat memberi peluang kepada lagu baru saya nanti,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.