Berita Terkini
recent

Tak kering gusi dek celoteh Amy

Sejak zaman remaja, berkahwin dan seterusnya mempunyai dua anak yang meningkat dewasa, kemesraan Amy Mastura Suhaimi terhadap peminat serta pengamal media tidak pernah berubah.

Sekali gus, faktor ini membuatkan peminatnya kekal setia dan tidak berubah hati meskipun ramai artis baru menghiasi industri seni tempatan.

Saban tahun, kelab peminatnya iaitu Amy Mastura Fan Club (AMFC) tidak ketinggalan mengadakan majlis perjumpaan Aidilfitri yang turut dihadiri Amy bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Kali ini, majlis dinamakan Riuh Raya AMFC 2017 diadakan di Rumah Tamu Datin Halijah, Sentul pada malam minggu lalu.

Lebih 80 peminat fanatik Amy yang menjadi ahli AMFC sejak remaja hadir. Tidak ketinggalan, turut kelihatan peminat yang baru mendaftar sebagai ahli.

Meskipun sederhana, majlis ini tetap berlangsung meriah dengan pelbagai acara permainan yang diadakan.

Bahkan Amy sendiri yang spontan menjadi hos majlis berjaya mencuit hati peminat dengan celotehnya yang bersahaja dan lucu. Pendek kata tidak kering gusi sepanjang acara berlangsung.

Peminat juga ‘sporting’ mengambil bahagian dalam setiap permainan sehinggalah acara berakhir pada 11.30 malam.

Amy, 46, mengakui terharu dengan kesungguhan AMFC menganjurkan majlis itu.

“Mulanya AMFC mahu buat majlis berbuka puasa tetapi tak sempat kerana saya sibuk. Jadi, ditukar kepada majlis perjumpaan Aidilfitri dan saya menyokong idea ini.

“Paling mengujakan, mereka peminat saya sejak zaman bujang. Bahkan di antara mereka ada yang sudah berkahwin dan beranak-pinak, namun terus menyokong kerjaya saya,” katanya.

Amy berkata, jika dahulu pihak pengurusannya yang merancang aktiviti sebegini, kini tanggungjawab itu diambil alih AMC sepenuhnya.

“Saya bangga dan terharu melihat mereka masih setia dengan saya. Mereka masih lagi macam dulu, nak bergembira dan berkumpul beramai-ramai.

“Majlis perjumpaan hari raya diadakan setahun sekali dan kami sangat gembira dapat berjumpa,” katanya.

Amy tidak menyangka dirinya masih diminati sehingga kini dan bersyukur AMFC sentiasa menghidupkan aktiviti sebegini.

“Insya-Allah selepas ini ada perancangan untuk buat aktiviti lagi. Saya akan menyokong sekiranya diberitahu awal-awal.

“Sekiranya ahli komiti AMFC tak anjurkan majlis sebegini, saya tak berpeluang berjumpa mereka.

“Saya puji semangat mereka dan amat berterima kasih atas usaha yang dilakukan. Lagipun, ini sebuah organisasi yang bukan membawa untung dan sekadar untuk bersuka-suka dan bergembira bagi menghilangkan tekanan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amy kini tampil dalam drama baru berjudul Mencintaimu Mr Photographer arahan Eyra Rahman yang bersiaran di Astro Ria dan HD.

Dia gembira kerana pertama kali membawakan watak berbeza.

“Saya bawa watak antagonis sebagai Datin Laila. Boleh dikatakan saya agak ganas dalam cerita ini.

“Sebelum ini saya banyak tampil dengan watak komedi ringan dan buat pertama kalinya jadi garang, wanita bermasalah dan mungkin dibenci ramai,” katanya.

Menurut Amy, bukan mudah untuknya membawakan watak sebegitu kerana realitinya dia berjiwa ceria.

“Kalau ikutkan perangai saya tak sama langsung dengan Datin Laila. Mulanya saya tercari-cari juga rentak.

“Syukur saya dapat bantuan semua pihak dan akhirnya berjaya buat apa yang dikehendaki pengarah,” katanya yang sebelum ini tampil dengan drama Jejak Karmila.

Mengulas karier nyanyian, Amy memberitahu masih mengadakan persembahan sekiranya ada undangan.

“Saya tiada apa yang nak dikejar. Sama ada tawaran menyanyi atau berlakon, kedua-duanya saya terima sekiranya ada,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.