Berita Terkini
recent

‘Tak berani jual, dah ada yang mati’

HEBOH sehari dua ini isu makan ikan buntal. Katanya, enak dimakan walaupun faktanya, spesies ikan ini adalah beracun dan mengandungi tetrodotoxin iaitu sejenis toksik berbahaya yang hanya 25 miligram dalam ikan buntal mampu membunuh manusia dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Menariknya, dalam sedar bahaya itu, spesies ini seperti 'ibu duit' baharu buat nelayan dengan menjual filet ikan ini kepada pelanggan. Ia menjadi alternatif kepada ikan jenis lain yang katanya jauh lebih mahal.

Memetik laporan eksklusif The Star, filet ikan ini menjadi pilihan dan popular serta dijual secara meluas di pasar sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak serendah RM18 hingga RM20 dengan label 'ikan kristal'.


"Berani betul mereka makan! Tak sayang nyawa ka?." Mungkin itu reaksi sesetengah daripada kita.  Namun, ikan buntal ini sebenarnya boleh dimakan sekiranya pengasingan bahagian yang beracun iaitu hati, mata, telur, darah dan kulit dibuat dengan kemahiran tinggi.

Persoalan timbul, sejauh mana filet ikan buntal yang terjual di pasar beberapa negeri ini benar-benar selamat.  Setakat mana kemahiran proses pengasingan racunnya seratus peratus meyakinkan?

Ikuti tinjauan Sinar Harian di pasar beberapa negeri mengenai trend makan ikan beracun ini.  Hispter katanya!

Kisah seorang penduduk tempatan yang mati akibat memakan ikan buntal kira-kira 10 tahun lalu masih diingati kebanyakan peniaga ikan di daerah ini.

Hasil tinjauan dilakukan di Pasar Ikan Tepi Sungai Pontian Kechill mendapati ikan buntal tidak dijual di pasar berkenaan.

Rata-rata peniaga memberitahu mereka tidak berani menjual ikan itu kerana membahayakan pelanggan.

Peniaga, Aslamiah Selamat, 54, berkongsi cerita tentang ikan buntal yang dahulunya pernah dijual dan dapat permintaan tinggi.

Katanya, dia tidak lagi menjual ikan buntal selepas kisah seorang penduduk tempatan mati dipercayai akibat makan ikan itu.

“Tidak silap, ada larangan dikeluarkan untuk peniaga supaya tidak menjual ikan buntal,” katanya.

Ditanya mengenai rasa isi ikan buntal, Aslamiah yang mempunyai kemahiran membuang toksik ikan buntal menyamakannya dengan rasa daging ayam.

“Isinya pejal seperti daging ayam. Sangat sesuai jika digoreng kerana tidak mudah hancur,” katanya.

Jelasnya, terdapat banyak spesies ikan buntal namun hanya ikan buntal pisang sahaja yang boleh dimakan.

“Tetapi sebagai peniaga kami perlu lebih bertanggungjawab kerana ikan buntal berisiko membahayakan pembeli.

“Ini kerana ramai yang tak tahu cara betul buang toksik ikan buntal,” katanya.

Bagi peniaga ikan di Pekan Sanglang, Said Amil, 37, berkata, ikan buntal belum pernah lagi dijual kepada pelanggannya, lagipun spesies ikan bertoksik itu bukan pilihan penduduk di sini.

“Tak dinafikan ikan buntal mempunyai keenakan rasanya yang tersendiri meskipun ia beracun,” katanya.

Menurut ya, tidak mustahil ikan buntal akan menjadi pilihan pengguna suatu masa nanti kerana keenakan rasanya.

“Jika dahulu belangkas yang mempunyai racun tidak dimakan. Tetapi keadaan itu sudah berubah, belangkas jadi kegemaran penduduk terutama di Kota Tinggi.

“Ikan buntal juga boleh jadi seperti belangkas, jika semakin ramai yang tahu cara buang toksik,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.