Berita Terkini
recent

Syukur laluan dipermudahkan

Mula mencipta nama menerusi drama rantaian, Cinta Si Wedding Planner, Elvina atau nama sebenarnya, Norzalina Mohamad, 22, kini semakin ligat mengatur langkah.

Meskipun pembabitannya dalam bidang seni masih hijau apabila baru dua tahun mencanai bakat, Elvina bersyukur urusan kerjaya seninya dipermudahkan.

“Kalau dinilai tempoh masa aktif sebagai pelakon, ia masih sangat singkat dan saya sifatkan diri masih mentah tetapi bakat sudah mula membuka mata ramai.

Hakikatnya, ada rakan seperjuangan masih berusaha mencari tempat untuk mengembangkan bakat dimiliki.

“Jujur saya tidak pernah bermimpi untuk bergelar pelakon. Segalanya bermula apabila tamat persekolahan, ada pihak menawarkan saya membintangi iklan TV.

“Sejak itu, kelibat saya mula dipandang dan ditawarkan menjadi pelakon tambahan. Saya bermula dengan watak kecil menerusi drama Baby Ana arahan Nizam Zakaria.

“Sungguh tak sangka percubaan demi percubaan membuahkan hasil sehingga diberikan watak lebih besar,” katanya.

Kata Elvina, apa yang dikecapi hari ini berkat doa dan restu ibu bapa yang sentiasa mahu melihat anaknya berjaya.

“Saya sentiasa percaya tanpa restu ibu bapa, seseorang itu tidak akan berjaya walau bagus macam mana pun bakat dimiliki,” katanya.

Melihat perjalanan seni semakin terbuka luas, Elvina akui bersyukur apabila keputusan memilih jalan seni adalah tepat.

“Melihatkan perjalanan dan perkembangan kerjaya lakonan sekarang, sudah tentu saya bersyukur. Ini bermakna keputusan saya menjadi pelakon adalah tepat.

“Walaupun pada mulanya keluarga tidak senang saya menceburi bidang ini kerana mereka mahu melihat saya menyambung pengajian tetapi selepas melihat kesungguhan, mereka tumpang gembira dan memberikan sepenuh sokongan.

“Jadi apa yang penting, saya mahu lakonan diingati seperti pelakon senior. Tidak dinafikan, walaupun ada segelintir pihak yang mengatakan pelakon baru tidak pandai berlakon tetapi saya percaya bakat boleh diasah,” katanya yang bakal terbabit dengan drama episod berjudul Kalih Kasih tidak lama lagi.

Diajak bercerita soal hati, Elvina yang pernah digosipkan bercinta dengan rakan gandingannya, Gambit Saifullah mengakui masih solo dan belum menemui calon suami.

Buat masa ini, saya selesa berkawan dengan ramai orang, cuma untuk yang betul-betul istimewa belum ada. Jika ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman, sudah tentu yang penyabar, kelakar, tinggi dan manis orangnya.

“Saya tidak begitu gemarkan lelaki yang cemburu dan tidak memahami kerjaya sebagai pelakon. Jadi, saya tidak mahu memikirkan soal itu dan fokus terhadap perkembangan karier buat masa sekarang,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.