Berita Terkini
recent

Syafie Naswip Tak Benarkan Mak Masuk Dapur

Jika orang lain sibuk dan teruja untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, lain pula halnya dengan pelakon, Syafie Naswip. Kata pelakon yang mula dikenali menerusi filem Mukhsin ini, saban tahun dia dan keluarga meraikan 1 Syawal di Kuala Lumpur sahaja.

Meski tidak mempunyai kampung halaman sebagaimana kebanyakan rakan-rakannya yang lain, lebaran yang diraikan Syafie tetap meriah dan bermakna di samping keluarga.

“Keluarga saya memang berasal dari KL, dan kebanyakan saudara-mara pun ada di sini, jadi setiap tahun memang kami akan meraikan Aidilfitri di KL sahaja.

“Mungkin rami yang fikir raya di KL sedikit membosankan, namun sebaliknya pula kepada kami sekeluarga kerana raya kami memang sentiasa meriah setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan,” ujar Syafie tentang sambutan rayanya.

Menurut Syafie lagi, kemeriahan yang paling dinantikan adalah aktiviti yang dilakukan pada malam raya di mana, sudah menjadi kelaziman penduduk di kawasan kejiranannya di Gombak untuk mengalunkan takbir raya dari rumah ke rumah.

Lebih menarik, duit raya juga turut diberikan kepada kanak-kanak pada malam raya berbanding kebiasaan di tempat lain yang mengamalkan pemberian duit raya pada hari raya sahaja.
“Selalunya aktiviti sebegini ada di kampung sahaja, tetapi siapa sangka di tengah kawasan bandar macam ni pun ada aktiviti serupa yang masih dipertahankan lagi sehingga hari ini.

“kebanyakan dari penduduk di sekitar memang tidak ketinggalan menyertai acara ini menjadikan malam raya kami sangat meriah sehingga ke pagi.

“Budak-budak paling seronok kerana mereka dapat duit raya lebih awal, malah mereka tidak perlu pun pusing satu kampung untuk dapatkan duit raya kerana pada malam raya ni sahaja mereka dapat kumpul banyak duit raya sebagaimana yang pernah saya lalu ketika zaman kanak-kanak dulu,” ceritanya sambil ketawa.

Kesibukam malam raya Syafie berterusan selepas itu apabila dia akan berada di dapur untuk memasak pelbagai juadah raya bersama adik lelakinya, sementara kedua ibu bapanya pula mengambil tugas untuk mengemas rumah.
“Kalau mak orang lain sibuk di dapur, kat rumah kami pula berbeza kerana saya dan adik tak benarkan mak masuk dapur sebaliknya kami yang akan ambil alih tugas tersebut untuk meringankan kerja mak.

“Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang pelik pun buat kami sekeluarga kerana semenjak dari darjah enam lagi saya dah biasa tolong ibu memasak juadah raya dan bila dah pandai sikit masak saya terus ambil alih tugas di dapur pada malam raya.

“Mulanya ibu tak yakin juga, tetapi bila tengok saya dan adik bersungguh-sungguh di dapur malah boleh masak macam-macam menu seperti Rendang Ayam Blackpaper, Lontong Goreng dan sebagainya, barulah dia lepaskan tanggungjawab itu pada kami,” terang Syafie.
Terima Kad Raya Peminat
Tidak menganggap tugasan itu sebagi sesuatu yang membebankan dirinya, Syafie sebaliknya merasa seronok dapat merasai pengalaman berbeza berbanding rakan-rakannya yang lain.
Selepas sibuk di dapur, Syafie, masih berkesempatan melakukan aktivitinya bersama rakan-rakan terutamanya mengunjungi bazar jalan Tunku Abdul Rahman yang menjadi kemestian buatnya saban tahun.
“Orang KL kalau tak singgah ke Jalan TAR malam raya memang rasa macam kurang sikitlah kerana memang itulah yang paling menyeronokkan.

“Selalunya saya akan ke sana sekitar 2-3 pagi setelah selesai memasak untuk jalan-jalan dan cari apa-apa yang berkenaan di sana kerana pada malam raya, selalunya mereka akan jual sangat murah dan kadang-kala lebih separuh daripada harga yang dijual pada hari sebelumnya,” ujarnya.
Sempena raya tahun ini, Syafie bakal tampil dengan beberapa telefilem raya seperti Kembalikan Syawalku, Ali dan Surat Panjang Untuk Mak yang akan menghiasi kaca TV sepanjang musim perayaan.

“Alhamdulillah, pada tahun ini kebanyakan penggambaran untuk slot raya dilakukan lebih awal untuk tidak mengganggu cuti raya saya sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.


“Jadi kesempatan itu akan saya gunakan untuk meluangkan masa untuk menemani keluarga pergi beraya dan mengunjungi sanak-saudara sepanjang cuti raya ini.

“Sanak-saudara saya di kedua belah pihak ibu dan ayah sangat ramai membuatkan kami perlu menambil masa juga untuk merancang perjalanan agar tidak ada rumah yang tertinggal,” katanya yang sering mengutamakan kedua ibu bapanya dalam apa jua perkara.

Berkongsi tantang kenangan raya bersama peminat, kata Syafie antara yang paling manis dan masih diingat sehingga hari ini adalah ketika tahun pertama dia beraya sebagai artis dan dikenali ramai.
“Pada tahun itu saya dapat banyak kad raya daripada peminat sehinggalah tidak termampu nak membalasnya satu-satu walaupun dalam hati rasa ralat.

“Apa pun saya memang baca kesemua kad raya yang dikirimkan tu dan rasa sangat gembira kerana itulah kali pertama saya mendapat kad raya dalam jumlah yang begitu banyak seperti itu dan ia kekal menjadi kenangan yang paling manis untuk saya kenang,” ceritanya sambil tersenyum.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.