Berita Terkini
recent

SRC masih bertahan

Syarikat rakaman Suria Records Sdn Bhd atau SRC adalah satu syarikat rakaman yang boleh dikatakan gah satu ketika dulu dengan menaungi ramai penyanyi popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Noraniza Idris.

Kewujudan banyak syarikat rakaman bertaraf antarabangsa sedikit pun tidak menggugat jenama SRC untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

Mula ditubuhkan sejak 1980, walaupun sudah banyak syarikat rakaman yang berkubur, SRC masih bertahan sehingga ke hari ini.

Jika dulu nama Tan Su Loke cukup sinonim dengn SRC, kini ia diuruskan anaknya, Edwin Tan selaku pengarah urusan.

Bersama wartawan RAP, Syanty Octavia Amry (), Edwin berkongsi arah tuju SRC pada masa kini dan akan datang.

RAP: Apa perkembangan SRC sekarang?

EDWIN : SRC masih aktif menghasilkan album dan lagu artis di bawah naungan kami.

RAP: Boleh senaraikan nama artis yang kini di bawah naungan SRC

EDWIN: Buat masa sekarang SRC menampilkan artis baru seperti Wani Kayrie, Putera Muhammad, Zahid Baharudin, Syuhada Amin, Yoyo dan beberapa lagi artis.

RAP: Jika dulu SRC banyak mengambil artis popular dan ternama, mengapa sekarang hanya mengambil artis baru?

EDWIN : Saya melihat perubahan industri muzik sekarang banyak tampil muka baru. Mereka datang dalam pelbagai bentuk dan medium terutama laman sosial seperti YouTube. Ini satu perkembangan yang harus saya ikuti supaya tidak ketinggalan.

Walaupun mereka artis baru, masing-masing punya bakat dan kelebihan yang saya perlu beri peluang untuk mereka buktikan kepada masyarakat.

RAP: Melihat SRC dulu dan sekarang sangat jauh beza baik dari segi lagu dan artis naungan. Namun sehingga kini SRC masih mampu bertahan. Apa rahsianya?

EDWIN : Sebagai syarikat rakaman tempatan yang perlu bersaing dengan syarikat rakaman antarabangsa, banyak perkara yang perlu saya ambil kira. Saya tahu tidak mudah untuk syarikat rakaman bertahan sekarang ini apatah lagi dapat dilihat banyak syarikat rakaman antarabangsa yang gulung tikar, malah ada yang terpaksa bergabung supaya terus utuh.

Tidak saya nafikan SRC sendiri merasai keadaan itu, namun kami sentiasa positif dalam merangka pelbagai perkara supaya dapat terus bertahan seiring dengan industri sekarang. Kelebihan yang kami ada apabila album artis popular dulu kami dapat promosikan dalam medium yang lain dan salah satunya melalui piring hitam.

RAP: Boleh kongsikan mengenai perancangan piring hitam itu?

EDWIN :Kewujudan cakera padat (CD) menyebabkan jualan kaset sudah tiada. Malah, jualan CD juga tidak sehebat dulu. Setiap bulan jualan CD menurun. Selepas mengkaji beberapa perkara kami dapati masih ada lagi kelompok peminat yang gemar menyimpan piring hitam. Daripada situ timbul idea menghasilkan album artis naungan kami dalam bentuk piring hitam. Sebagai permulaan kami mulakan dengan album Datuk Siti Nurhaliza.

Walaupun penerbitannya agak mahal, sudah banyak permintaan yang kami terima dan penerbitan pertama kami hasilkan 1,000 piring hitam pada Ramadan lalu.

Sambutan sangat menggalakkan kami terima dan kami akan menerbitkannya untuk yang kedua pada 21 Julai ini.

Jika tiada halangan dan sambutan terus hangat diterima kami akan menerbitkannya untuk album artis lain pula mengikut permintaan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.