Berita Terkini
recent

Sikap Kedekut Fizo Nyaris Makan Diri

“MULANYA berhajat nak bagi RM50, tapi bertukar bagi RM20 sahaja,” kata Fizo Omar menceritakan sikap ragu-ragunya untuk bersedekah yang seterusnya memberi pengajaran lain kepada dirinya.

Fizo menceritakan pengalaman ketika menggunakan perkhidmatan GrabCar apabila dia mendengar kisah sedih pemandu itu yang mencari wang untuk menanggung ibu yang sudah tidak bekerja.

Kesukaran pemandu lelaki berbangsa Cina itu mencari rezeki telah menyentuh hatinya yang pada mulanya membuatkan dia berhajat untuk memberi  sumbangan sebanyak RM50 tetapi mengubah fikiran kepada RM20.

"Caj perjalanan saya ialah RM10, tapi bila dengar cerita pemandu itu tentang kehidupannya yang sukar dan menjaga ibunya, emosi ni lain macam sikit, timbullah rasa kesian, simpati dan macam-macamlah. Terlintaslah niat nak bersedekah dekat pemandu ni.

"Mula-mula saya nak bagi dalam RM50, nak bagi dekat mak dia untuk makan tapi niat itu berubah apabila ‘dihasut’… hmmmm buka wallet tengok ada duit RM20 dan RM50. 'Hasutan’ tu membuatkan saya ubah niat dengan bagi dia RM20 je," kata Fizo.

Bagaimanapun, katanya, selepas sampai di rumah dia menyedari kamera berharga ribuan ringgit tertinggal dalam kereta tersebut.


Dalam keadaan panik dia cuba menghubungi pemandu berkenaan bagi mendapatkan semula kamera itu tapi tidak berjawab menyebabkan dia berasa putus asa.

Namun, pemandu tersebut akhirnya menghubungi semula Fizo bagi menyerahkan kamera berkenaan.

"Masa nak balik saya baru perasan kamera kesayangan yang baru dibeli tercicir dalam kereta tadi. Apa lagi, terus call dia. Dalam hati macam... hmmm… bye bye sudah kamera tu... terus fikir negatif macam-macam.

"Tiba-tiba, pemandu itu hubungi saya semula beritahu kamera itu ada padanya.

"Dalam hati terus terlintas, baiknya budak ni. Kalau dia cakap tiada dalam kereta dia pun saya boleh buat apa kan? Tidak semua orang nak pulangkan balik, sudah la dia cerita yang dia tak cukup duit," ujarnya.

Jelas Fizo, kira-kira pukul 1 pagi Rabu, dia mendapat semula kamera itu selain menganggap ia satu pengajaran paling berharga yang tidak akan dilupakan.

"Apa yang saya nak kongsi ialah sikap saya sendiri yang berkira dengan rezeki Allah. Kalau saya teruskan niat saya nak bagi dia RM50 mungkin saya tidak tertinggal kamera yang bakal kerugian lebih dari harga RM50 itu.

"Pada saya, Allah telah menghantar seseorang kepada saya untuk mengingatkan tentang dalam rezeki yang kita dapat ada rezeki orang lain," ujarnya.
ot;1" />
Powered by Blogger.