Berita Terkini
recent

Si bendul diminati si cantik

Seorang pemuda bernama Azrul (lakonan Aiman Hakim) yang bendul sehingga digelar Azrul Bendul, namun diminati Suraya, seorang gadis cantik (Syaini Aida). Pertemuan mereka berlaku tanpa dirancang apabila kereta Suraya rosak dan Azrul yang melalui kawasan di situ membantunya.

Bagaimanapun, Azrul yang diketahui seorang bendul difitnah Samsul dan Azril kononnya cuba memperkosa Suraya sehingga teruk dibelasah.

Azrul terpinga-pinga diperlakukan begitu sedemikian rupa tanpa mengetahui niat sebenar Samsul yang sebenarnya meminati Suraya dan melakukan pelbagai cara memikat hati gadis itu.

Inilah kisah yang ditampilkan dalam telefilem Azrul Bendul yang akan menemui penonton menerusi slot Skrin Di 9 TV9, jam 8.30 malam ini.

Apakah kerana kekurangan dan ketidaksempurnaan Azrul membuatkan dia sewenang-wenangnya diperlukan sebegitu rupa?

Bukankah setiap manusia dan individu dicipta dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri? Inilah mesej yang ditampilkan pengarah Shuhaimi Lua Abdullah dalam drama terbitan syarikatnya, Tanah Beris Film Production Sdn Bhd ini.

Shuhaimi berkata, biarpun dalam genre romantik komedi, telefilem ini tampil dengan kekuatan tersendiri yang boleh dijadikan tauladan.

“Azrul mungkin bendul, tapi dia ikhlas dan ini yang dilihat Suraya. Allah menciptakan kejadian manusia dengan baik dan ini yang diperlihatkan menerusi karakter Azrul.

“Pada saya, Aiman dengan genre ini tak begitu asing kerana pernah berlakon drama genre komedi ringan. Dia berjaya membawakan wataknya dengan baik,” katanya.

Menurutnya, Syaini Aida pula kali kedua bekerja dengannya selepas telefilem Namaku Bedah.

“Awalnya dia masih lagi dibayangi watak Tasha dalam Namaku Bedah. Masuk hari ketiga barulah dia mampu membawa watak Suraya dengan sebaik mungkin.

“Begitu juga pelakon lain iaitu Kuza, Hamdan Senario, Ezzaty Abdullah, Ferth Jasni, Shah dan penampilan istimewa Amir Raja Lawak turut memantapkan lagi cerita ini,” katanya.

Shuhaimi berkata, biarpun genre komedi, Azrul Bendul penuh dengan konflik menarik antaranya emak saudara Azrul sendiri iaitu Bibi yang ingin menjodohkan anaknya Diana (Ezzaty) dengan pemuda ini.

“Inilah yang dikatakan kelebihan Azrul sehingga menjadi kegilaan ramai. Bagaimanapun, Azrul tak faham dengan apa yang cuba dilakukan Bibi.

“Sebenarnya banyak lagi elemen menarik dalam cerita ini, namun, saya enggan berkongsi semuanya. Yang penting penonton kena menonton sendiri untuk mengetahui kesudahannya,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.