Berita Terkini
recent

Shia buat hal lagi

Seperti tidak serik, pelakon Shia LaBeouf sekali lagi buat hal baru-baru ini, apabila berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai hingga ditahan.

Pelakon berusia 31 tahun itu ditahan sewaktu berada di Savannah, Georgia, Amerika Syarikat (AS) selepas didapati berada di bawah pengaruh alkohol dan membuat kecoh.

Shia ditahan pada jam 4 pagi di Pusat Tahanan Wilayah Chatham sebelum diikat jamin dengan sejumlah wang.

Menurut laporan, ketika kejadian pelakon itu mendekati individu dan seorang polis untuk meminta rokok.

Tiba-tiba kelakuannya berubah menjadi agresif dengan melemparkan kata-kata kesat disebabkan tidak diberikan rokok.

Polis yang berada di tempat kejadian kemudian memintanya meninggalkan lokasi itu, namun dia menolak sebelum bertindak kasar terhadap polis berkenaan.

“Apabila anggota polis itu cuba menahannya, dia melarikan diri ke sebuah hotel berdekatan.

“Dia ditahan di lobi hotel itu tapi masih tidak tenang dan terus berkelakuan tidak waras,” demikian kenyataan polis.

Pelakon terbabit berada di Savannah bagi menjalani penggambaran filem berjudul The Peanut Butter Falcon yang turut dibintangi Dakota Johnson dan Bruce Dern.

Insiden itu bukan kejadian pertama membabitkan pelakon Transformers itu melanggar undang-undang.

Pada Januari lalu, Shia ditahan di New York selepas dilaporkan bertengkar dengan seorang lelaki sewaktu berada di pameran seni miliknya sendiri.

Bagaimanapun, tuduhan itu kemudian digugurkan.

Selain itu, pelakon terbabit pernah diberkas selepas didapati mabuk di tempat umum pada 2015 di Texas.

Pada 2008 dia dituduh atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol di California.

Pada 2014, Shia mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan atas kekecohan yang dicetuskannya di sebuah teater Broadway.

Terdahulu, pelakon itu bersetuju untuk mendapatkan rawatan terhadap pengambilan alkohol sebagai satu daripada denda selepas insiden itu.
ot;1" />
Powered by Blogger.