Berita Terkini
recent

Sherry AlHadad: Makin aktif bidang pengacaraan

BUKAN mudah untuknya berada di tahap sekarang, malah apa yang dilalui hari ini dianggap sebagai rezeki yang tidak terjangka atas usaha memanjangkan bakat seni yang ada dalam dirinya.

Begitu yang dikatakan pelakon dan pengacara popular,      Sherry AlHadad yang sentiasa menjadikan   susah payah    perjalanan seninya sebagai motivasi terbaik untuknya terus memajukan diri.

Meskipun awal kemunculannya sebelum ini Sherry atau pemilik nama sebenar Sharifah Mariam Syed Abdullah AlHadad ini dikenali sebagai seorang pelakon, namun rezeki dalam bidang pengacaraan ternyata lebih mendominasi kerjaya seninya hari ini.

“Kita tidak pernah tahu apa yang berlaku pada hari esok dan begitu jugalah yang saya lalui dalam bidang seni ini di mana saya sendiri tidak pernah menyangka kini begitu aktif dalam bidang pengacaraan.

“Bukan kerana tamak merebut tawaran, sebaliknya saya cuma mahu guna peluang diberikan dengan sebaik mungkin kerana hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana susahnya saya nak dapat keyakinan orang sebelum ini termasuk ibu saya sendiri yang antara percaya dan tidak saya mampu muncul di kaca TV sebagai pengacara.

"Saya tidak anggap diri mempunyai bakat besar dalam pengacaraan, cuma mungkin kerana saya suka bersikap natural ketika mengacarakan sesuatu program, ia jadi lebih mudah buat saya,” katanya yang mula mencuri perhatian selepas mengendalikan segmen belakang tabir Anugerah Skrin beberapa tahun sebelum ini.

Selain acara anugerah, antara program yang pernah menampilkan Sherry sebagai pengacara adalah Melodi, Akak-Akak Sangat, Perang Bibir, Rockanova, Muzik Muzik serta kerap diberi peluang mengacarakan pelbagai majlis hiburan lain.

Bagaimanapun, kekerapannya muncul sebagai pengacara dalam pelbagai program secara berterusan menyebabkan ramai semakin lupa Sherry yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater dari Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara) sebenarnya seorang pelakon.

“Memang saya akui situasi itu berlaku apabila sekarang ni orang lebih kenal saya sebagai pengacara berbanding pelakon, sedangkan minat dan kekuatan sebenar saya adalah dalam bidang lakonan.

“Jadi untuk memastikan perkara itu tidak berterusan, saya cuba seimbangkan kembali situasi itu dengan beri tumpuan tawaran dalam bidang lakonan.

“Biarpun tawaran dalam bidang lakonan tidak banyak yang datang, tapi saya cuba ambil peluang yang ada dengan sebaik  mungkin,” ujarnya jujur.

Pernah buat dubbing suara

Antara lakonan terbaru Sherry adalah menerusi drama Misteri Wan Peah, sitkom Bus Stop, 3 Dara Dot Com dan juga turut meminjamkan suaranya untuk filem animasi, The Secret Life Of Pets yang dialih bahasa ke bahasa Melayu di saluran HBO sempena Aidilfitri lalu.

“Sebenarnya sebelum dikenali ramai, saya aktif membuat dubbing untuk mengisi suara beberapa filem antarabangsa ke dalam bahasa Melayu untuk siaran TV berbayar.

“Percaya atau tidak, saya pernah pinjamkan suara saya bagi versi bahasa Melayu untuk watak Angelina Jolie dalam filem The Tourist  beberapa tahun dahulu.

“Jadi apabila dapat tawaran isi suara bagi filem animasi The Secret Life Of Pets oleh HBO raya lalu, saya teruja dan kembali teringat zaman aktif membuat dubbing lapan tahun lalu,” imbasnya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.