Berita Terkini
recent

Sherry AlHadad Lebih Diingati Sebagai Pengacara Berbanding Pelakon

Bukan mudah untuknya berada di tahap sekarang, malah apa yang dilaluinya hari ini dianggap sebagai rezeki yang tidak terjangka atas segala usahanya untuk memanjangkan bakat  seni yang ada dalam dirinya.

Meski di awal kemunculannya sebelum ini Sherry atau pemilik nama sebenar Sharifah Mariam Syed Abdullah AlHadad ini dikenali sebagai seorang pelakon, namun rezeki dalam bidang pengacaraan ternyata lebih mendominasi kerjaya seninya hari ini.

“Kita tidak pernah tahu apa yang berlaku pada hari esok, dan begitu jugalah yang saya lalui dalam bidang seni ini di mana saya sendiri tidak pernah menyangka kini begitu aktif dalam bidang pengacaraan.

“Bukan kerana tamak merebut tawaran, sebaliknya saya cuma mahu menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik yang mungkin kerana hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana susahnya saya nak mendapat keyakinan orang sebelum ini termasuklah ibu saya sendiri yang antara percaya dan tidak saya mampu muncul di kaca TV sebagai pengacara.

“Saya tidak menganggap diri mempunyai bakat yang besar dalam pengacaraan, cuma mungkin kerana saya suka bersikap natural ketika mengacarakan sesuatu program, ia menjadi lebih mudah buat saya,” katanya yang mula mencuri perhatian selepas mengendalikan segmen belakang tabir Anugerah Skrin beberapa tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, kekerapannya muncul sebagai pengacara dalam pelbagai program secara berterusan menyebabkan ramai yang semakin lupa Sherry yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater dari Akademi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebenarnya seorang pelakon.
“Memang saya akui situasi itu berlaku apabila sekarang ni orang lebih kenal saya sebagai seorang pengacara berbanding pelakon, sedangkan minat dan kekuatan sebenar saya adalah dalam bidang lakonan.

“Jadi untuk memastikan perkara itu tidak berterusan, saya cuba seimbangkan kembali situasi itu dengan memberi tumpuan kepada tawaran dalam bidang lakonan.

“Biarpun tawaran dalam bidang lakonan kini  tidak banyak yang datang, namun saya cuba mengambil peluang yang ada dengan sebaik yang mungkin,” ujarnya jujur.

Antara lakonan terbaru Sherry adalah menerusi drama Misteri Wan Peah, sitkom Bus Stop, 3 Dara Dot Com dan juga turut meminjamkan suaranya untuk filem animasi, The Secret Life of Pets yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu di saluran HBO sempena Aidilfitri lalu.

“Sebenarnya sebelum dikenali ramai, saya sebenarnya sangat aktif membuat dubbing untuk mengisi suara beberapa buah filem antarabangsa ke dalam Bahasa Melayu untuk siaran TV berbayar.

“Percaya atau tidak, saya pernah meminjamkan suara saya bagi versi bahasa Melayu untuk watak Angelina Jolie dalam filem The Tourist beberapa tahun dahulu.

“Jadi apabila mendapat tawaran untuk mengisi suara bagi filem animasi The Secret Life of Pets oleh HBO raya lalu, saya berasa sangat teruja dan kembali teringat zaman-zaman aktif membuat dubbing sekitar lapan tahun lalu,” imbasnya.

Memulakan kerjaya seni dari bawah dan terlebih dahulu aktif dalam pementasan teater, Sherry sentiasa mengingatkan dirinya agak tidak mudah lupa diri meskipun dirinya kini sedang meniti populariti.

“Saya bermula dari bawah dan saya tahu bagaimana susahnya perjalanan untuk sampai ke tahap ini, jadi saya sangat-sangat menghargai apa yang saya ada dan mudah tersentuh bila ada yang anggap saya sudah berubah sikap selepas popular kerana ia tidak pernah berlaku begitu.

“Sungguhpun saya kini banyak menerima tawaran-tawaran  yang bersifat komersial, saya juga masih mengambil tawaran kerja kecil yang biasa saya lakukan sebelum ini asal sahaja ia tidak bertindih dengan jadual kerja lain.

“Biar apa pun yang saya kecapi hari ini, saya masih lagi orang yang sama dan sentiasa teruja untuk bekerja atau menjayakan projek-projek yang mampu memberikan inspirasi kepada orang lain tidak kiralah kecil atau besar,” tegas Sherry.
ot;1" />
Powered by Blogger.