Berita Terkini
recent

‘Saya bukan nak menunjuk’

Pengalaman lebih tujuh tahun sebagai tukang besi dimanfaatkan seorang lelaki di sini apabila dia memasang dua penutup longkang di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beringin, Masjid Tanah, di sini, secara percuma.

Syawal Abd Malik, 27, berkata, dia berbuat demikian apabila mendapat tahu masalah penutup besi di sekolah berkenaan yang hilang dipercayai dicuri.

Menurutnya, dia bersama isterinya, Siti Khatijah Kasmuri, 24, baru seminggu berpindah di sini.

Katanya, dia kemudian bertemu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Sejati (Perkisma) Melaka, Mohd Asri Ramli yang merupakan bapa angkatnya.

“Bapa angkat saya mencadangkan saya terus menetap di Masjid Tanah. Bila kami bersembang, bapa angkat beritahu masalah ketiadaan penutup besi di sekolah berkenaan akibat dicuri sehingga membahayakan keselamatan lebih 100 murid.

“Walaupun saya belum ada anak, saya dapat merasakan keresahan ibu bapa bila lihat longkang tersebut hanya ditutup sementara dengan papan. Keadaan itu dah berbulan berlaku,” katanya.

Berikutan itu, katanya, dia berbincang dengan bapa angkat dan bersetuju membuat besi longkang sebelum kerja-kerja mengukur dan menukang termasuk mengecat di bawah nama Welding Retro.

Menurutnya, dia mengambil masa sehari untuk menyiapkan dua penutup besi longkang tersebut sebelum memasangnya.

“Saya dah merantau di beberapa negeri, tersentuhnya hati saya bila dapat tahu longkang dikepung guna kayu itu dah lebih lima bulan macam tu.

“Sebelum kejadian tak diingini berlaku, apa salahnya saya realisasikan cadangan ayah angkat untuk menutup longkang tu.

“Lagipun pengawal keselamatan sekolah beritahu pernah ada insiden murid yang cedera terjatuh dalam longkang itu disebabkan tiada penutup longkang,” katanya di sini, semalam.

Syawal berkata, apa yang dilakukan bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada khidmat masyarakat dengan menggunakan kemahiran yang ada, ditambah pula bantuan kewangan daripada bapa angkatnya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.