Berita Terkini
recent

Premis caj ikat tepi 30 sen diperiksa KPDNKK

Premis yang mengenakan caj 30 sen untuk ikat tepi bagi minuman yang dibungkus antara diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, di sini semalam.

Pengarahnya, Ummi Nasrah Othman berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap penandaan harga di premis perniagaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, 14 premis perniagaan termasuk kedai menjual pakaian dan mini market diperiksa dalam operasi itu.


“Premis perniagaan yang diperiksa didapati meletakkan tanda harga pada barangan jualan.

“Pemeriksaan juga dijalankan terhadap premis menjual minuman yang tular di media sosial kerana mengenakan caj 30 sen untuk ikat tepi bagi minuman dibungkus,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pihaknya mengambil keterangan pemilik untuk direkodkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, peniaga berkenaan akan dikenakan tindakan sekiranya siasatan mendapati beliau melanggar undang-undang yang dikuat kuasa oleh KPDNKK.

Ummi Nasrah berkata, orang ramai boleh menyalurkan aduan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau melayari laman web http://eaduan.kpdnkk.gov.my.

Katanya, aduan juga boleh disalurkan ke ez-adu SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN (butiran aduan) dan menghubungi pejabat KPDNKK WPKL di talian 03-4045 4555 atau datang sendiri ke pejabat KPDNKK WPKL.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.