F Polis perlu buang tatu di badan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Polis perlu buang tatu di badan

 Semua anggota dan pegawai polis akan dikenakan tindakan tegas sekiranya tidak membuang tatu di badan dalam tempoh sebulan.

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 21 Jun lalu, telah mengeluarkan arahan tersebut kepada semua anggota dan pegawai di seluruh negara.

Bagi yang bertatu perlu mengisytiharkan tatu mereka sebelum 21 Julai ini dan tatu yang tidak dibenarkan perlu dibersihkan sebelum tarikh berkenaan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rajab ketika memberitahu Oriental Daily, semua anggota dan pegawai polis perlu mematuhi arahan tersebut tanpa sebarang pengecualian.


“Pasukan polis ialah pasukan berdisiplin dan uniform, kecuali dalam keadaan tertentu. Kami sama sekali tidak membenarkan anggota bertatu atau ia mudah menyebabkan orang ramai salah faham.

"Orang ramai yang berminat menyertai pasukan polis juga perlu membuang tatu mereka sebelum menjalani temu duga," katanya.

Berdasarkan garis panduan terbaru, semua anggota dan pegawai polis beragama Islam dilarang sama sekali bertatu, manakala mereka yang bukan Islam, termasuk Orang Asli dibenarkan bertatu berdasarkan keperluan agama, budaya dan kepercayaan.

Beliau berkata, anggota dan pegawai polis bukan Islam hanya boleh mencacah tatu selepas mengisi borang pengisytiharan berserta alasan berbuat demikian dan mendapat kelulusan pentadbiran polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias dilaporkan berkata, Bukit Aman melarang anggota polis mencacah tatu atau tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar arahan berkenaan.

Katanya, mencacah tatu bertentangan dengan polis yang merupakan pasukan beruniform dan menyebabkan kecacatan dalam keseragaman pasukan keselamatan itu.

Ketika ini, Taiwan, United Kingdom dan kebanyakan negara Komanwel tidak membenarkan pegawai penguat kuasa mencacah tatu.
ot;1" />
Powered by Blogger.