Berita Terkini
recent

Pilih tawaran berlakon

Aktres Teresa Palmer tidak hanya bekerja keras mengekalkan momentum dalam industri seni, malah berusaha sebaik mungkin agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.

Pelakon yang pernah membintangi filem I Am Number Four dan Warm Bodies itu mula memilih tawaran sejak bergelar ibu pada 2014.

Katanya, dia ingin meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak. Baginya, dalam setiap perkara yang dilakukan, semuanya harus tepat.

“Sama ada dalam kerjaya mahupun rumah tangga serta tanggungjawab terhadap anak-anak, tidak ada ruang untuk melakukan kesilapan.

“Antara bekerja dan anak-anak, saya memilih untuk bersama anak tetapi waktu sama, lakonan adalah jiwa saya.

“Saya berlakon bukan semata-mata menjadikan ia sebagai pekerjaan. Menyeimbangkan antara dua perkara itu sebenarnya memerlukan pengorbanan yang sangat besar.

“Namun saya yakin setiap pengorbanan saya untuk anak adalah berbaloi,” katanya.

Teresa akui bergelar selebriti, isteri dan ibu pada satu masa bukanlah perkara mudah.

Katanya, jika malam ini dia tidur bersama anak-anaknya dan keesokkan harinya, dia berjalan di karpet merah dengan gaun menawan sebagai seorang pelakon.

“Jika tidak dikawal dengan baik, kehidupan saya boleh saja jadi tunggang-langgang kerana harus menguruskan rumah tangga dan kerjaya.

“Tambah pula tawaran berlakon agak banyak bukan hanya untuk filem tetapi juga peragaan fesyen dan model iklan komersial,” katanya.

Apa pun, apabila memilih untuk bersama anak membuatkan ada kalanya dia terlepas peluang untuk berganding dengan pelakon kegemarannya mahupun bekerja dengan pengarah dan produksi berkaliber.

Bagaimanapun, kata Teresa atau Teresa Mary Palmer, dia tidak pernah menyesali keputusannya dan yakin pasti ada peluang lain untuk bekerja dengan nama-nama besar dalam industri seni.

Sejak awal pembabitan, filem lakonan Teresa masih boleh dihitung dengan jari berbanding dengan pelakon kelas A lain tetapi dia nekad dengan pilihannya.

“Apa saja keputusan membabitkan anak, saya tidak pernah menyesal. Saya sedar pelakon yang baru mula bertapak lebih banyak berlakon berbanding saya.

“Tetapi visi saya mungkin berlainan dengan pelakon lain. Saya tidak mengejar kuantiti sebaliknya mementingkan masa berkualiti bersama anak-anak,” katanya.

Mempunyai dua anak, selebriti asal Adelaide, Australia ini gembira kembali ke dunia lakonan selepas melahirkan anak kedua.

Walaupun tidak bercadang untuk aktif seperti sebelum ini, Teresa berpuas hati kerana masih menerima tawaran berlakon.

Katanya, pada awal pembabitannya dalam dunia seni dia menerima semua tawaran yang datang. Ketika itu, dia berasakan belum tiba masanya memilih peluang untuk berlakon.

“Ketika itu saya tidak melepaskan setiap peluang yang datang tetapi apabila usia semakin meningkat, saya mula memilih karya yang lebih dekat dengan realiti serta berlainan dengan karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

“Saya juga cenderung memilih watak dan karya berat agar dapat mencabar diri sendiri. Saya lebih suka dengan naskhah lain dari yang lain. Saya tidak mahu terus terperangkap dalam karya sama,” katanya.

Bakal muncul dalam filem 2.22, Teresa memegang watak Sarah iaitu kekasih Dylan Branson. Kedua-dua watak itu terperangkap dalam dunia berulang dan terhenti waktu yang sama.

“Watak Sarah tidaklah terlalu berat untuk saya lakonkan tetapi jalan cerita filem itu sangat menarik. Ia membabitkan pasangan yang harus saling percaya dan sama-sama mencari jalan keluar dari ‘dunia’ itu.

“Saya suka karakter Sarah kerana ia menggambarkan sikap realiti mana-mana individu yang mungkin berhadapan dengan situasi sukar. Saya pasti watak Sarah sedikit sebanyak dapat memberikan pengajaran berguna buat semua pasangan di mana-mana,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.