Berita Terkini
recent

Penunggang motosikal terima 20 jahitan di mulut

Seorang penunggang motosikal terpaksa menerima kira-kira 20 jahitan di mulut dan pipi selepas merempuh seorang pejalan kaki di Batu 12 ½  Jalan Perindustrian Puchong berhampiran Bandar Puteri di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.54 pagi, video kemalangan tersebut yang tular di laman sosial merakam pejalan kaki tidak menoleh kiri dan kanan ketika menyeberangi jalan di antara kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Dalam video berdurasi 1 minit itu, pejalan kaki dilihat dirempuh motosikal jenis Yamaha Lagenda dinaiki seorang kerani wanita berusia 37 tahun sebelum kedua-duanya terbaring di antara dua lorong.


Orang ramai yang kebetulan berada di lokasi kejadian kemudian dilihat memberi bantuan kepada  kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, penunggang gagal mengawal motosikalnya dan melanggar pejalan kaki yang tiba-tiba melintas di depannya.

“Penunggang motosikal dibawa ke klinik berhampiran oleh suaminya untuk mendapat rawatan awal. Mangsa yang patah gigi dan mengalami kecederaan di bahagian gusi serta mulut kemudian dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

“Namun mangsa pejalan kaki dipercayai warga Indonesia masih belum dapat dikesan kerana belum buat laporan polis,” katanya kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.