Berita Terkini
recent

Pengetua meninggal dunia selepas melawat asrama

Perginya meninggalkan seribu kenangan walaupun hanya sempat menabur bakti di sekolah yang berjasa kepadanya selama tiga bulan sahaja selepas dinaikkan pangkat menjadi pengetua bermula 6 April lalu.

Allahyarham Hamzani Suien, Pengetua Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) pergi menemui ILLAHI selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam keretanya di hadapan Asrama Putera Semesti, awal pagi semalam.

Bagi isteri arwah Rusnani Abdul Razak, 44, pemergian suaminya begitu mengejutkan kerana mereka baharu sahaja pulang daripada bercuti hari raya di Meru, Selangor dan kampungnya di Terengganu.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah adalah awal pagi semalam ketika dia ingin pulang ke Teluk Intan bagi memulakan kerja selepas tamat bercuti hari raya bersama kami sekeluarga.

"Ketika itu arwah suami bersikap seperti biasa dan saya sempat menyediakan juadah untuknya bersahur kerana dia berpuasa enam," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI), tengah hari tadi.

Menurut Rusnani dia pada mulanya menerima panggilan telefon daripada Penolong Kanan Semesti mengatakan suaminya pengsan di dalam kereta lalu dia bersama abang iparnya bergegas ke Teluk Intan.

"Ketika dalam perjalanan ke Teluk Intan, saya menerima panggilan daripada bekas majikan suami saya dahulu memaklumkan bahawa arwah sudah pergi meninggalkan kami semua.

"Saya terlalu sedih ketika itu lalu memberi telefon kepada abang ipar untuk bercakap dengan penolong kanan sekolah yang memaklumkan arwah di bawa ke HTI untuk bedah siasat," katanya.
Powered by Blogger.