Berita Terkini
recent

Penantian berakhir

SETELAH dua tahun penghasilannya, filem Kau Yang Satu akhirnya menemui penonton di pawagam pada 27 Julai ini.

Filem adaptasi dari novel berjudul sama ini adalah hasil karya Nia Azalea.

Pengarahnya, Osman Ali berkata, penantian untuk melihat filem kesembilan arahannya ini ditayangkan di pawagam sudah pun berakhir.


Kini yang tinggal hanya debaran menantikan respons penonton dan juga peminat novel ini.


"Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Nia Azalea kerana membenarkan novelnya untuk diadaptasi ke bentuk filem.

"Selepas Ombak Rindu, banyak novel yang mula diadaptasi termasuk drama dan saya mengambil tanggungjawab mencari sebuah novel yang berbaloi untuk diangkat ke layar perak.

"Sebab itu saya mengambil masa sedikit lama untuk menyiapkan filem ini agar apabila orang melihat hasilnya orang akan berpuas hati," katanya kepada Media Hiburan.

Menurut Osman, tempoh dua tahun turut digunakan untuk mengemaskan lagi lagi filem ini termasuk menggunakan khidmat profesional di Bangkok, Thailand untuk melakukan proses color grading (mencantikkan warna) tahun lalu.

Kau Yang Satu dibintangi Aaron Aziz (Taufik), Izara Aisyah (Salina), Hisyam Hamid (Zulfikli) dan Soo Wincci (Isabella) ini dan turut dibantu Amyra Rosli, Wan Hanafi Su, Zaidi Omar, Kodi Rashid.

Berkongsi kenangan dan cabaran sepanjang penggambaran filem ini yang mengambil masa selama sebulan, Osman berkata, cabaran paling besar adalah untuk melakon layarkan sebuah naskhah novel dalam tempoh masa yang sangat terhad.

"Selain itu, novel ini juga ada elemen sensual yang terpaksa saya elakkan demi menjaga sensitiviti. Bukan itu saja, ada babak yang sangat kejam di mana seorang lelaki telah membelah perut wanita mengandung yang saya tukar agar tak nampak keterlaluan," jelasnya.

Ditanya mengenai keistimewaan Kau Yang Satu sehingga menarik perhatiannya untuk dijadikan filem Osman berkata, konflik yang digarap dalam novel ini ibarat menarik roller coaster.

Bagi Osman Kau Yang Satu bukan tipikal melodrama cinta seperti yang sering dipaparkan tetapi mengibaratkan seperti roller coaster kerana konfliknya silih berganti selain kisahnya yang agak sensitif iaitu mempersoalkan hubungan antara suami dan isteri, namun suami isteri itu sendiri berjuang untuk mengukuhkan perkahwinan mereka.

"Bukan itu sahaja, karakter Salina yang mewakili kebanyakan gadis desa yang penuh kelembutan, tetapi mereka tidak lemah dan mereka kuat menghadapi dugaan hidup," ujarnya.

Harapan Nia Azalea

Bagi penulis Kau Yang Satu, Nia Azalea atau nama sebenarnya Nor Afzalina Azme, dia berpuas hati setelah melihat hasil filem ini.

Menurutnya, pihak produksi sudah memberikan yang terbaik dalam mengadaptasi novel yang ditulis 15 tahun itu.

Nia menambah, sejak awal lagi, dia percaya dengan kemampuan pihak produksi dan dia juga turut terlibat ketika awal proses filem ini di buat.

"Dari segi pelakonnya dan lakonan bukan kepakaran saya, jadi saya serahkan kepada pihak produksi dan percaya dengan kemampuan mereka," katanya yang sentiasa dihubungi jika berlaku perubahan atau penambahan sesuaikan dengan situasi masa kini.

“Apa yang saya harapkan filem ini akan mendapat sambutan dan boleh mempopularkan semula novel Kau Yang Satu,” katanya.
Powered by Blogger.