F Peluang bertemu pelakon Princess Hours | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Peluang bertemu pelakon Princess Hours

PELAKON utama drama bersiri Thai yang menjadi fenomena tahun ini, Princess Hours bakal menemui peminat Malaysia menerusi siri jelajah yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Menerusi siri Jelajah Princess Hours ini, peminat berpeluang untuk bertemu dan beramah mesra dengan Putera Diraja Tao Sattaphong Phiangphor, Puteri Diraja Pattie Ungsumalynn Sirapatsakmetha, Phan Stephane Saisean Pagniez serta Bebe Thanchanok Ritnaka secara peribadi bersempena dengan  tayangan perdana siri ini di Malaysia.

Kesemua pelakon bakal membuat kemunculan istimewa di LG2, Central Avenue Kompleks Membeli-belah Sunway Pyramid pada Ahad, 9 Julai ini bermula jam 3 petang.


Lebih menarik sepanjang acara jelajah ini, Tao, Pattie, Phan dan Bebe bakal berkongsi kisah mereka bersama peminat termasuk interaksi istimewa menerusi pelbagai aktiviti pentas serta permainan yang pasti menghiburkan.

Meraikan peminat setia Malaysia dengan membawakan selebriti Thai dekat di hati, pihak penganjur, Dimsum turut mengadakan parti tayangan eksklusif di hotel rasmi, Capri by Fraser Kuala Lumpur, Malaysia pada 8 Julai (Sabtu) bermula pukul 8 malam.

Untuk memenangi pas eksklusif ke semua acara jelajah, peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini di laman rasmi Facebook pihak penganjur.

Princess Hour merupakan sebuah adaptasi daripada drama popular Korea, Goong yang di kemudiannya diberi suntikan baru dalam versi Thai.

Drama lakonan Ungsumalynn Sirapatsakmetha dan Tao Sattaphong Phiangphor sebagai Puteri dan Putera Diraja ini telah pun menemui penonton mulai 3 Julai lalu.

Mengekalkan keaslian drama asal, Princess Hour versi Thai menampilkan sisi penceritaan dan lakon layar yang lebih segar serta menghiburkan, malah turut menampilkan pelbagai lokasi menarik sebagai latar belakang.

Dalam versi Korea, Chae Kyung adalah pelajar bidang seni yang mengejar cita-cita menjadi pereka fesyen, namun dalam versi Thai, Puteri Diraja Kah Ning mahu menjadi seorang pakar seni.

Selain itu, teman wanita kepada Putera Diraja Lee Shin adalah seorang penari ballet, manakala teman wanita Putera Indra ditampilkan sebagai atlet memanah.

Berlatar-belakangkan negara fiksyen Bhutin, drama ini menyelongkar kisah percintaan di antara sang putera dan gadis biasa dalam suasana kawalan istana diraja yang cukup ketat, di mana Putera Diraja Indra dan Kah Ning dipaksa berkahwin akibat perjanjian awal yang dibuat oleh nenda mereka.

Namun sebelum itu, Putera Indra turut melamar teman wanita berstatus selebriti, Minnie untuk mengahwininya namun ditolak dengan alasan ingin menggapai cita-citanya terlebih dahulu.

Sementara itu Kah Ning yang berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan di istana termasuk peranannya sebagai sang puteri dan isteri, kini mulai jatuh hati dengan sang putera yang mulai memahaminya.
ot;1" />
Powered by Blogger.