F Nelydia Senrose belakangkan kontroversi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Nelydia Senrose belakangkan kontroversi

ADEGAN kontroversi yang terpalit pada salah satu babak drama Encik Suami Mat Salih Celup tidak sedikit pun memberi kesan buat herion drama tersebut, Nelydia Senrose.

Bagi aktres cantik ini, babak dia menunggang motosikal sambil dibonceng Daler Yusof berlaku secara spontan dan bukan disengajakan.

Malah, adegan itu bukan dibuat-buat bagi melariskan drama tersebut atau pun mempunyai niat lain. Sebaliknya, apa yang terjadi adalah terlalu cepat.

Bagaimanapun, anak ketiga dari tujuh beradik ini tetap mengakui sebagai manusia biasa tidak lari dari khilaf di dalam apa yang dilakukannya.

Bagi Nely, apa yang terbaik adalah berusaha perbaiki diri, bukan hanya dari sisi kehidupan, bahkan terhadap perkembangan kerjaya.

Bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 pada 30 Julai depan, Nely yang berasal dari Kota Bharu ini mengakui, pada fasa sekarang, fokusnya hanyalah satu, mahu sukses dalam kerjaya.

Belakangkan soal kontroversi atau kisah cinta remeh-temeh yang memakan diri. Belajar daripada kesilapan lalu, pemilik nama lengkap Nik Zaris Nelydia Nik Sen ini mahu terus maju agar kecapi sukses dalam seni.

Mahu bergandingan dengan Uqasha

Dia sebenarnya tidak mahu lagi memanjangkan kisah yang mengundang tidak senang hati sesetengah pihak itu, namun Nely tetap profesional memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Dia juga sedar sebagai public figure, peminat perlu tahu perkara sebenar di balik kejadian tersebut.

Nely tidak putus-putus memberitahu ia bukanlah satu hal yang disengajakan dan turut menerima permohonan maaf daripada Daler sendiri melalui video menerusi laman Instagram.

“Pada mulanya, saya tidak perasan langsung. tapi, Daler tiba-tiba menghubungi saya dan minta maaf. Saya tanya mengapa. Lalu dia jelaskan apa yang berlaku. Jadi saya pun tontonlah trailer tersebut.

“Awalnya saya tak perasan, tapi bila ada pihak yang sunting dalam mood slow motion, barulah saya sedar dan agak tertekan bila baca komen netizen," katanya yang bertegas mereka tidak bersalah dan turut meminta maaf jika ada pihak tersinggung.

Nely yang mengenali Daler ketika penggambaran drama Encik Suami Mat Saleh Celup juga menganggap perkara itu satu pengajaran untuk dia lebih berhati-hati selepas ini.

Nely ditemui Media Hiburan di majlis pelantikannya sebagai duta baru haruman Avon, Viva la Vita di Ciao Ristorante, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelakon itu juga gembira kerana dipilih sebagai wajah untuk jenama haruman bagi label popular itu, Nely menyifatkan pemilihannya satu penghargaan besar, memandangkan Avon mempunyai reputasi yang boleh dibanggakan di negara ini.

“Selain saya, ada lagi beberapa nama yang disenarai pendek. Saya tidaklah meletakkan harapan tinggi sebab dah tahu, Avon pastinya mahu pilih ‘wajah’ produk yang benar-benar dirasakan layak.

“Tapi, pada Mei lalu sebelum bercuti ke Amerika Syarikat, saya mendapat khabar dari pengurus yang saya dipilih mereka. Pastinya ia satu pengalaman yang menggembirakan kerana saya sendiri sememangnya penggemar haruman,” akui Nely jujur.

Tiada istilah cemburu

Berkongsi perjalanan seninya ketika ini, bintang yang memulakan karier lakonan lebih 10 tahun lalu ini memberitahu, dia bakal muncul menerusi filem Jebat yang turut menampilkan Sharnaaz Ahmad sebagai pendukung utama.

“Insya-ALLAH, filem tersebut akan ditayangkan pada akhir atau awal tahun hadapan. Memang panjang proses pembikinannya sebab saya juga perlu lakukan dubbing. Selain itu, ada juga perancangan menggandingkan saya dengan Uqasha bagi sebuah drama bersiri," katanya yang berharap dapat berlakon dengan kakak sendiri dalam sebuah drama yang panjang.

Bagaimanapun, Nely enggan berkongsi lanjut mengenai drama tersebut kerana masih di peringkat perbincangan.

Ujar Nely, sebagai adik, sudah pastinya dia berbangga dengan pencapaian Uqasha kerana hasil usaha serta penat lelahnya kini berbaloi.

“Kini, rasanya ramai yang sudah nampak potensinya. Dia memang boleh pergi jauh dalam lakonan. Cuma saya padanya supaya fokus pada kerjaya, usah biarkan soal personal mengganggu.

Tambah Nely, dia tidak kisah andai ada pihak yang cuba untuk membandingkannya dengan adik beradik lain kerana perkara itu sudah lama berlaku dan mereka gembira dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Tiada pun istilah cemburu kerana sejak kecil, hubungan kami memang rapat dan masing-masing saling mengenali.

“Kalau Uqasha bagus atau Raysha lebih baik pun, saya gembira. Begitu juga kalau saya yang bagus, mereka pun pasti rasa yang sama,” akhiri Nely yang turut memberitahu, pada fasa sekarang, dia tiada masa untuk bercinta kerana keutamaannya kini hanya untuk memahat nama baik dalam dunia lakonan.
ot;1" />

Powered by Blogger.