Berita Terkini
recent

Nak anak perempuan

Pelakon Diana Rafar yang kini hamil lapan bulan berharap dikurniakan anak perempuan selepas memiliki anak lelaki, Kashfi Haiqal yang kini berusia tujuh tahun.

Diana, 35, berkata, orang sekeliling menjangkakan dia mendapat anak perempuan selain keluarga dan sahabat yang turut mendoakan impiannya itu tercapai.

Bagaimanapun, Diana mengakui belum mengetahui jantina anak dalam kandungannya meskipun selepas beberapa kali menjalani ujian imbasan kehamilan.

“Sebenarnya, suami kalau boleh tidak mahu tahu jantina anak kami. Dia mahu perkara itu menjadi kejutan buat kami berdua sehingga bersalin. Jadi setiap kali menjalani ujian imbasan kehamilan, dia meminta doktor tidak memberitahu jantina anak.

“Dalam soal ini, kami tidak kisah. Asal saja anak yang bakal lahir sihat dan sempurna. Cuma saya berharap kalau dapat anak perempuan mesti seronok. Cukup sepasang anak kami. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu berharap.

“Saya menyerahkan perkara ini kepada ketentuan Allah. Saya dan suami berserah dan menganggap anak adalah amanah dan rezeki. Apa yang penting, doakan semoga saya selamat bersalin dan dipermudahkan,” katanya.

Diana yang juga isteri kepada pelakon Zamarul Hisham berkongsi mengalami alahan yang teruk sepanjang hamil anak kedua ini.

Malah, Diana mengakui dia cepat rimas dan malas menjawab panggilan telefon daripada sesiapa saja.

“Dari awal kehamilan sehingga sekarang, saya sering letih. Keadaan ini tak sama seperti saya mengandungkan anak pertama dulu. Saya menyangkakan hamil anak kedua ini okey, sebaliknya alahan lebih teruk. Mungkin disebabkan jarak yang terlalu lama.

“Bukan saja cepat letih tetapi alahan pagi saya sangat teruk. Malah, saya juga mengalami mabuk sehingga menyukarkan untuk bekerja. Perkara itu membuatkan saya tak boleh berjumpa dengan sesiapa pun ketika ini.

“Paling teruk, saya malas nak menjawab mesej dan panggilan telefon. Bukan sombong, tapi perasaan itu lahir secara semula jadi. Saya pun pelik dengan situasi itu. Sehinggakan suami risau dibuatnya. Dia selalu bercerita keadaan saya kepada rakannya,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Diana juga mengalami alahan dari segi pemakanan sehingga usia kandungan mencecah lima bulan.

Sehinggakan wujud perasaan Diana seperti tidak mampu mengawal keadaan.

Pada masa sama, Diana berkongsi suaminya tidak banyak masa bersama kerana terikat dengan penggambaran drama bersiri 80 episod berjudul Dia.

“Apabila saya disahkan hamil, suami pula mendapat tawaran berlakon cerita Dia. Kiranya rezeki itu datang serentak. Memandangkan dia antara watak utama, jadi boleh dikatakan setiap hari berada di lokasi penggambaran hingga kami kurang meluangkan masa bersama di rumah.

“Namun, suami tidak pernah mengabaikan saya. Dia sentiasa mengambil berat dan bertanya keadaan saya. Kalau kebetulan ada waktu terluang, dia manfaatkan sebaik-baiknya,” katanya.

Diana yang dijangka bersalin pada penghujung Ogos nanti juga bercerita dia masih menjalani rutin biasa iaitu mengurus, menghantar atau mengambil anak ke sekolah.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.