F Nabila Berhabis Ribuan Ringgit Demi Baju 'Dendam Aurora' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Nabila Berhabis Ribuan Ringgit Demi Baju 'Dendam Aurora'

Selepas dua tahun tidak berlakon dalam drama bersiri, Nabila Huda akhirnya kembali menyahut cabaran menjayakan drama 100 episod bertajuk Dendam Aurora.

Menurut pelakon yang juga mesra dengan panggilan Abil ini, walaupun wataknya berat yang mana menuntutnya bermain dengan emosi dari awal hingga akhir cerita namun dia menerima tawaran tersebut kerana tertarik dengan jalan cerita karya yang diadaptasi daripada telenovela dari negara Itali itu.

"Lama juga saya tidak berlakon drama episod kerana saya tidak sanggup menjalani penggambaran dalam tempoh yang lama sehinggakan saya tiada masa untuk bersama keluarga. Jadi saya memilih untuk belakon telemovie sahaja.

"Tapi saya terima tawaran kali ini kerana saya tertarik dengan jalan cerita karya ini. Saya memang suka cerita berat dan watak saya dalam drama ini dari mula hingga akhir penuh emosi dan tangisan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut bertempat di Duddha, KLCC, pada Rabu.

Memengang watak sebagai Aurora, Abil mengakui dia berdepan cabaran kerana wataknya melalui beberapa perubahan secara berperingkat sehingga episod yang terakhir.

Demi menghidupkan watak tersebut dia turut peka dari segi pemakaian. Justeru, dia sanggup berhabis ribuan ringgit hanya untuk membeli baju-baju untuk dipakai sepanjang dalam cerita itu.

Bukan menolak memakai baju tajaan yang disediakan oleh pihak produksi tetapi jelasnya, ada baju yang kurang sesuai dengan wataknya. Jadi dia lebih selesa memilih sendiri baju yang akan dipakai selama menjadi Aurora.

"Disebabkan episodnya panjang, watak saya melalui perubahan dari satu peringkat ke satu peringkat. Jadi untuk menghidupkan karakter Aurora, saya banyak berhabis membeli baju-baju. Saya sanggup habiskan separuh gaji saya.

"Memang produksi ada menyediakan wardrobe dan daripada pihak tajaan, tetapi awal-awal saya beritahu mereka saya tidak mahu memakai baju yang mereka sediakan kerana kurang sesuai dengan watak saya. Pihak produksi akur dan memahami cara saya.

"Bayangkan episod 1 hingga episod 21 saya berhabis lebih kurang RM5000. Itu belum lagi dari episod ke 21 hingga 50 pula, penampilan Aurora berubah dan saya harus beli lagi baju lain. Bukan saja pemilihan corak baju malah saya juga teliti dari segi warna baju itu.

"Semua itu penting untuk saya nampak elok dari segi imej untuk karakter saya. Saya tidak kisah kalau muka saya tidak nampak cantik ketika berlakon, tapi saya akan pastikan baju yang saya pakai berkualiti dan nampak betul-betul kena dengan watak yang saya lakonkan," tuturnya.

"Tak Perlu Nak Dating"


Lain pelakon, lain caranya. Jika bagi sesetengah pelakon, memerlukan sedikit masa untuk mewujudkan keserasian bersama hero demi menjayakan watak. Namun tidak bagi Abil.

Mengulas mengenai gandingannya bersama Ungku Ismail, Nabila berkata dia tidak mempunyai masalah dari segi mewujudkan keserasian kerana ia secara semulajadi wujud sebaik saja mereka masuk ke set dan mula berlakon.

"Tak perlu nak create chemistry dengan keluar bersama, minum-minum kopi atau dating kerana apa yang penting kita baca skrip dan faham watak kita pasti kita boleh melakonkan watak kita dengan baik.

"Keserasian itu akan wujud sebaik saja pengarah kata 'action' dan kita sebagai pelakon mula berlakon. Bila pengarah kata 'cut', saya dan Ungku Ismail, masing-masing dengan perangai biasa. Begitulah kami sepanjang penggambaran," katanya.

Dendam Aurora arahan Feroz Kader dan Riza Baharudin yang kini masih lagi menjalani penggambaran bakal ditayangkan mulai 25 Julai, jam 6 petang di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Karya yang diadaptasi daripada drama asal berjudul Tuscan Passion ini turut dijayakan barisan pelakon seperti Shah Iskandar, Anzalna Nasir, Dato' Eizlan Yusof, Dian P. Ramlee, Zila Bakarin dan ramai lagi.

ot;1" />
Powered by Blogger.