Berita Terkini
recent

Mulanya tidak diyakini

Beberapa bulan lalu, penyanyi popular Korea Selatan, Psy meramalkan lagu See You Again nyanyian Whiz Khalifa dan Charlie Puth bakal memecah rekod Gangnam Style sebagai video muzik paling banyak tontonan di YouTube.

Ramalan penyanyi itu menjadi kenyataan apabila See You Again mencecah 2.92 bilion tontonan iaitu lebih 20 juta tontonan daripada Gangnam Style.

Mengulas pencapaian itu, pencipta See You Again, Puth memberitahu majalah Billboard pada asalnya dia tidak sepatutnya muncul dalam video muzik lagu terbabit.

“Saya kurang pasti kalau ramai tahu mengenai perkara ini. Sepatutnya saya tidak perlu berada dalam video muzik See You Again termasuk menyanyi sebahagian daripada lagu itu,” katanya.

Menurut penggiat seni muda ini, dia cuma diminta mencipta runut bunyi untuk filem Furious 7 dan bagi memperingati bintang Fast and Furious, Paul Walker yang meninggal dunia pada 2013.

“Sebagai orang baru dalam industri muzik, saya dianggap kurang layak untuk menjadi sebahagian daripada francais Fast and Furious.

“Ketika itu, nama saya belum terkenal. Ramai meragui kemampuan tetapi saya berjaya buktikan tanggapan mereka itu silap,” katanya.

Selepas dimaklumkan tidak terbabit, Puth mengugut tidak akan menyerahkan lagu itu kepada produksi.

“Saya masih ingat, mereka beri pelbagai alasan termasuk lagu itu akan dinyanyikan artis lain.

“Jadi, saya bertegas tidak akan menyerahkan lagu terbabit kepada mereka walaupun filem Furious 7 bakal ditayangkan dalam masa seminggu.

“Tak sangka pula tiba-tiba saya diminta muncul dalam video muzik lagu berkenaan,” katanya.

Puth memulakan karier muziknya di YouTube ketika remaja dan populariti See You Again membantu melonjakkan namanya di seluruh dunia.

Selain menduduki tempat pertama di carta muzik beberapa negara, single See You Again turut memenangi enam trofi pelbagai anugerah berprestij.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.