F Muahciked: Tak susah nak jadi jujur | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Muahciked: Tak susah nak jadi jujur

Ahad yang indah buat anda semua harapnya, semoga semua pembaca kolum Muahciked dalam Selebriti Metro Ahad ini ceria dan gembira selalu. Kepada yang tengah marah tu, harap dapat berubah gembira selepas membaca coretan adik.

Apapun, adik rasa banyak isu hangat diperkatakan dalam akhbar dan media sosial sejak kebelakangan ini. Antaranya isu membabitkan dakwaan penipuan syarikat pajakan kenderaan yang berlaku terhadap lebih 1,500 kereta.

Isu ini mendapat perhatian ramai tetapi bukan ini yang mahu adik ulas kerana ia bukan bidang adik. Terus terang, adik tidak mahir isu berkaitan perjanjian sewa beli atau pajakan kereta.

Cuma apa yang adik ingin kongsikan dalam penulisan minggu ini adalah isu membabitkan penipuan dalam perniagaan. Sebenarnya, kita sudah lali dengan situasi penipuan dalam perniagaan. Secara sedar atau tidak, kebanyakan kita selalu tertipu ketika urusan berjual beli.

Tak kiralah sama ada membeli produk atau menggunakan sesuatu perkhidmatan. Penipuan dalam perniagaan tidak mengenal masa dan tempat.

Begitu juga penipuan dalam talian yang adik dapati sekarang amat berleluasa. Kasihan kita selaku pembeli.

Tidak dinafikan peniaga mempunyai banyak cara untuk menarik perhatian pembeli yang juga bertindak sebagai pengguna.

Antara cara yang sering digunakan ialah dengan membuat promosi potongan harga yang tinggi hingga mencecah 80 peratus. Ada juga yang meletakkan potongan harga sebanyak 70 peratus termasuk ganjaran sampingan seperti beli satu percuma satu dan banyak lagi.

Apapun, ini ingatan adik supaya jangan mudah tertipu kerana kadang-kadang apa yang ditulis sebagai potongan itu adalah harga yang sebenar.

Namun, peniaga yang menipu dalam menyediakan perkhidmatan pula lebih licik. Ini berdasarkan pengalaman sendiri apabila kereta adik rosak.

Ketika itu adik kesuntukan masa, apatah lagi untuk meninggalkan kereta di bengkel. Jadi, ia memberi ruang kepada peniaga kedai servis kereta itu mengambil kesempatan dengan mengenakan harga tinggi termasuk cuba menukar alat ganti yang tidak sepatutnya.

Adik pula memang langsung tidak tahu mengenai alat ganti kereta. Oleh itu, adik terpaksalah hadap saja.

Apapun, pada pendapat adik, antara faktor utama seseorang itu dapat memperoleh kejayaan dalam perniagaan adalah jujur. Sikap jujur perlu ada dalam diri peniaga terutama ketika memberi penjelasan tertentu kepada pelanggan.

Menjadi peniaga yang jujur lebih senang sebenarnya daripada memilih untuk menjadi peniaga yang menipu. Tak perlu bersusah-susah nak hafal skrip atau berlakon, ‘kan? Apapun, silakan tepuk dada dan tanya selera.

Penipuan dalam perniagaan berlaku apabila peniaga nampak wujudnya peluang untuk mengambil kesempatan terhadap pelanggan. Sebagai pelanggan pula, jangan dengan mudah kita menunjukkan muka terdesak atau betul-betul menginginkan sesuatu barangan itu.

Dalam soal ini, pelanggan perlu sentiasa berjaga-jaga pada setiap keputusan sebelum menerima tawaran yang dibuat oleh peniaga.

Bukan bersangka buruk terhadap mereka selaku peniaga tetapi ia sekadar untuk berwaspada. Umpama pepatah sediakan payung sebelum hujan. Nanti kalau dah hujan, habis basah baju raya kita. Betul tak?

Kalau nampak pula tawaran yang luar biasa, cuba fikirkan sebaik-baiknya dahulu. Jangan terus beli walaupun di pusat belah-belah atau dalam talian.

Setiap perniagaan memang memerlukan pelanggan. Ini kerana pelanggan adalah aset penting dalam memastikan perniagaan diusahakan itu mampu terus maju dan berkembang dengan baik.

Biasalah, kalau pelanggan tidak sanggup keluar duit untuk membeli macam mana pula nak terus berniaga? Jadi, dalam soal ini kita cuma perlu memberikan hak mereka sebagai peniaga mengikut perjanjian yang ditetapkan.

Rasa adik, kalau nak dibincangkan lebih lanjut mengenai topik ini memamg banyak cerita boleh kita kongsikan bersama.

Contohnya, tip untuk mengelakkan penipuan, jenis penipuan dalam talian dan banyak lagi hingga boleh penuh satu suratkhabar.

Apapun, akhir sekali, adik hendak beritahu semua pembaca mengenai peraduan Drama Lirik Hot yang memberi peluang kepada anda untuk menang hadiah RM500.

Untuk jumlah wang terkumpul pula, anda boleh teka tajuk lagu dan nama penyanyi dalam sketsa pendek yang dilakonkan oleh adik, Redza Rosli, Mira Filzah dan Hafiz Roshdi.

Bagi maklumat ini, adik jamin sangat tepat dan betul! Tak tipu. Justeru, tahniah adik ucapkan kepada pemenang minggu pertama nanti!

Ingat, jangan lupa untuk selalu luangkan masa menunggu isyarat panggilan seterusnya daripada penyampai radio Hot FM, ya!

#KakiPusing
ot;1" />
Powered by Blogger.