Berita Terkini
recent

Menulis atas prinsip, Noor Azila pilih naskhah berat

MESKIPUN baru setahun jagung dalam bidang penulisan, namun Noor Azila Mazlan gemar menghasilkan naskhah‘berat’.

Baginya, karya yang sarat dengan mesej dan penuh pengajaran memberi 100,1 kepuasan!

Bahkan, anak kelahiran Bagan Datoh, Perak ini mempunyai tagline tersendiri iaitu ‘menulis sambil mendidik’.

“Saya menulis berdasarkan prinsip yang dibawa.

“Saya menulis bukan sekadar menulis kosong semata-semata.

“Tetapi, saya mahukan setiap bahan penulisan yang saya hasilkan bermanfaat buat semua,” katanya pada Media Hiburan.

Mengakui seronok dengan pilihan genrenya itu, Noor Azila yang menggunakan nama pena Iffa Zalia bagaimanapun diminta penerbit untuk mengikut rentak pasaran pada hari ini.

“Saya akui ada melakukan sedikit perubahan, malah penulisan juga lebih bersifat catchy dan ringan.

“Bagaimanapun, saya masih kekalkan jalan ceritanya yang sarat dengan pengajaran tetapi lebih santai bagi menarik minat pembaca,” katanya.

Sehingga hari ini, ibu kepada dua anak ini sudah menghasilkan empat novel iaitu Dengar Kata Hati (2010), Biar Jadi Kaktus (2011),  Atin, Jom Kahwin! (2012) dan terbaru, Heroku Anak Emak (2016) di bawah terbitan Alaf 21.

“Buat masa ini, saya sedang dalam proses menulis naskhah terbaru. Insya-ALLAH, karya itu bakal disiapkan tidak lama lagi,” katanya.

Bukan itu sahaja, bekas pensyarah ini juga cuba nasib dengan menghasilkan dua buku kanak-kanak iaitu Adila Bijak Matematik (2012) dan Adila Bijak Sains (2015) di bawah terbitan Kids@ Buku Prima.

“Siri ini berbeza dengan buku cerita kanak-kanak yang lain kerana kisah yang disampaikan semuanya berasaskan silibus pelajaran di sekolah.

“Semuanya bertujuan untuk menarik minat membaca dalam kalangan kanak-kanak,”katanya.

Pada masa sama, Noor Azila berharap agar dapat terus menghasilkan bahan bacaan yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak.

“Walau jasad saya tiada nanti, biarlah karya saya terus berada di ingatan pembaca,” katanya yang juga merupakan pengasas bagi produk wangian bagi jenama La’ Velvet.

Bakal adaptasi

Menceritakan kembali pembabitannya dalam bidang penulisan, Noor Azila mengakui segalanya bermula lantaran minat yang mendalam.

“Saya ini memang suka membaca apa saja bacaan sedari kecil lagi.

“Minat itu menjadi rutin dalam kehidupan seharian saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Lantaran itu, penulis berusia 28 tahun ini menyimpan angan-angan untuk menjadi novelis, satu hari nanti.

“Kerana minat itu juga, saya mula berjinak-jinak belajar menulis.

“Saya mula menulis novel pertama sejak berada di Tingkatan Lima.

“Saya kemudiannya menghantar ke penerbit dan tidak sangka ia dipilih. Alhamdulillah,” katanya.

Melangkah setapak lagi ke hadapan, Noor Azila turut melahirkan perasaan terujanya apabila novel keduanya iaitu Biar Jadi Kaktus bakal di adaptasi ke kaca televisyen (TV).

“Alhamdulillah, perasaan saya bercampur baur di antara gembira dan risau.

“Sebenarnya, apa yang saya risaukan adalah kritikan daripada masyarakat. Saya takut ia tidak selari, jadi saya akan mengadakan perbincangan yang teliti dengan penulis skrip dan pengarah,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.