Berita Terkini
recent

Mantap album sulung

Segala-galanya sudah siap sedia untuk album sulung Rampage menemui peminat yang menanti dengan sabar selama 17 tahun.

Bagaimanapun, bagi menambah kemantapan album berjudul Rempuh itu, kumpulan yang dianggotai Yazit (dram), Moq (penyanyi), Zham (bass), Jemboo (gitar) dan Rithan (gitar) menyiapkan pula satu lagi lagu baru di studio milik Zahid Ahmad di Taman Melawati sebagai bonus.

Yazit berkata, lagu ciptaan Datuk M Nasir itu dijangka mampu memenuhi selera peminat yang sudah lama dahagakan sentuhan berbisanya.

"Sebenarnya banyak keistimewaan terdapat dalam album ini. Selain memuatkan lagu M Nasir, kami juga tampilkan keseluruhan lagu ciptaan Rampage dengan konsep versatil.

"Kami percaya muzik begini mudah diterima pada era kini," katanya.

Menurut Yazit, Rempuh yang menampilkan genre hard rock, heavy rock dan world music rock sudah siap sepenuhnya.

Ia dijangka dipasarkan dalam tempoh sebulan lagi.

"Kulit album Rempuh sudah mula dicetak. Album ini diterbitkan dalam dua edisi album mini yang akan dipasarkan dua kali dalam tempoh setahun. Sekarang kami dalam proses mengenal pasti pengedar sesuai.

"Menariknya, setiap album ini disertakan dengan 'booklet' Rampage dan poster bersaiz besar. Ia sebagai hadiah buat peminat," katanya.

Yazit berkata, dia menanam tekad untuk berusaha sehabis baik buat kumpulan yang dianggapnya seperti adik sendiri ini.

"Selagi saya ada dan kuat, saya akan bimbing mereka (anggota Rampage). Saya sudah seperti abang mereka.

"Saya pasti pengalaman selama 40 tahun dengan Search boleh membantu melakukan yang terbaik dan menjadikan Rampage sebuah kumpulan contoh," katanya.

Dalam pada itu, Yazit gembira dengan pencapaian Rampage yang pernah diundang menjayakan persembahan sempena Hari Terbuka Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada hujung April dan Karnival KLXtravaganza anjuran Karyawan di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur pada Mei lalu.

"Ia pengalaman yang mahal kerana Rampage bukan nama besar berbanding band popular lain.

"Orang lihat kami dianggotai pemuzik berpengalaman, tapi sebaliknya kami tetap anggap kami sebagai orang baru dalam bidang seni," katanya.

Menurutnya, persembahan ini satu landasan terbaik bagi memperkenalkan nama Rampage kepada peminat.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.