Berita Terkini
recent

MA1963: Anwar gesa PM segera bertindak

 Bekas Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak segera bertindak mengenai tindakan Sarawak meneliti semula perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).

Menurutnya, hak negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan terutama Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian serius dan segera.

“Saya menggesa PM supaya berlapang dada mengkaji punca kegelisahan dalam konteks MA1963.

“Ternyata tindakan beliau dan kerajaan BN selama ini memberikan peruntukan dan perhatian sekadarnya, gagal mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sarawak menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung MA1963 bagi menentukan hak-hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.

Sementara itu, Anwar mendakwa usaha Kerajaan Negeri Sarawak merujuk syarikat guaman United Kingdom (UK) membayangkan mereka kurang yakin dengan Jabatan Peguam Negara untuk memberikan penafsiran bebas dan adil.

“Penubuhan syarikat minyak milik negeri, Petras untuk menjana pertumbuhan dalaman dan memberi pendedahan kepada anak negeri adalah dialukan memandangkan persepsi di kalangan rakyat Sarawak bahawa Kerajaan BN Persekutuan telah mengabaikan kepentingan mereka di sana.

“Oleh itu, Kerajaan tidak boleh meremehkan langkah tersebut kerana ia memberikan implikasi yang luas terhadap hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Negeri-Negeri terutama Sarawak dan Sabah,” katanya lagi.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.