F Lisa, Yusry kongsi tip penjagaan bayi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Lisa, Yusry kongsi tip penjagaan bayi

SELEPAS segmen eBu dilancarkan pada tahun lalu dengan memperkenalkan program eBu Babypedia, program yang memfokuskan pada kandungan berkaitan dengan hal-hal keibubapaan ini kembali untuk musim kedua.

Masih mengekalkan pasangan selebriti Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim sebagai wajah utama program, eBu Babypedia musim ini akan mengetengahkan perkara berkenaan dengan penjagaan bayi dengan perkongsian pelbagai tip menarik, petua dan informasi berguna sebagai panduan buat ibu bapa.

Antara topik yang dikupas kali ini adalah mengenai tabiat tidur bayi, penyusuan badan, pemakanan, penjagaan kesihatan, percutian bersama bayi, pergaulan sosial, pemakaian dan sebagainya.




Bercerita lanjut mengenai program pada musim ini, Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar menyifatkan sambutan dan respons positif yang diterima oleh eBu Babypedia musim pertama membuatkan program ini kembali untuk musim kedua.

“Jika eBu Babypedia musim pertama memaparkan mengenai petua, pantang larang dan amalan tradisional berkaitan kehamilan yang sinonim dalam masyarakat, untuk musim kedua ini kami kongsi pula tip, petua dan informasi menarik mengenai penjagaan bayi.

“Demi memastikan kelangsungan penerbitan program ini, kami memerlukan sokongan daripada semua pihak. Untuk eBu Babypedia musim ini, jenama Johnson’s telah hadir selaku penaja utama program.

“Dengan adanya sokongan seumpama ini, kami percaya azam kami untuk terus memberi tip, informasi dan ilmu merangkumi pelbagai aspek seperti rumah tangga, keibubapaan, kehamilan dan kekeluargaan khas buat penonton akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Banyak perkara yang dikongsi mereka jarang sekali dibicarakan secara umum. Oleh itu, tip dan informasi yang diberikan oleh mereka berdua mampu membantu para ibu bapa muda terutamanya, dalam mempersiapkan diri melangkah ke fasa keibubapaan.

Istimewanya untuk musim kedua ini juga, pada setiap episod Yusry akan membuat demonstrasi cara penjagaan bayi mengikut topik yang dibincangkan pada episod tersebut. Segmen khas ini diharap dapat membantu kaum bapa dalam penjagaan bayi dan cara mudah untuk melakukannya.

Dalam kesemua 10 episod program, turut dipaparkan sketsa ringkas yang cukup mencuit hati lakonan pelawak dan pengacara popular tanah air, Jihan Muse dan Bell Ngasri untuk menyuntik sedikit elemen humor dalam program berbentuk informatif ini di samping mengukuhkan pemahaman penonton terhadap topik yang dikupas.

Selain itu, pada setiap pembukaan episod, beberapa pasangan selebriti popular akan ditampilkan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam membesarkan anak masing-masing sekali gus memberi perspektif yang lebih luas mengenai topik yang dikupas.

eBu Babypedia musim kedua akan bersiaran mulai 26 Julai 2017,  setiap Rabu, pukul 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Program ini turut boleh ditonton menerusi platform Astro GO dan on demand untuk akses mudah khususnya buat para ibu bapa muda.
ot;1" />
Powered by Blogger.