Berita Terkini
recent

Langkah seni Haqiem Rusli makin menjadi

UMUM mengetahui pendatang baru, Haqiem Rusli,19, mula dikenali selepas single pertama berjudul Segalanya mula menjadi sajian halwa telinga pencinta muzik khasnya remaja.

Sejak itulah namanya kian menjadi perhatian sehingga membawa pemilik nama sebenar, Ridzuan Haqiem Rusli ini berdiri setara dengan penyanyi lelaki popular sedia ada.

Terbaru, dia sudah pun melancarkan single kedua, Tergantung Sepi. Lagu hasil susunan muzik dan lirik oleh Gouffran dan Ibnu itu menyaksikan momen sama diterima anak jati Selangor ini.


Lebih sebulan dilancarkan, rata-rata peminat memberi komen positif terhadap lagu tersebut. Lebih membanggakan, Tergantung Sepi memperlihatkan sisi matang penyanyi muda ini di dalam nyanyian terutama dari segi kemantapan vokal.

Mengulas perkara tersebut, Haqiem yang ditemui Media Hiburan memberitahu, sebagai muka baru, sudah tentunya pujian yang diberikan itu sedikit sebanyak membakar semangatnya untuk terus mengatur langkah jitu dalam industri.

“Alhamdulillah, kebanyakan netizen beri komen baik terhadap lagu tersebut. Rasa lebih teruja untuk memberikan yang lebih baik lagi di masa depan. Sukses itu skopnya luas, tetapi boleh dikatakan setakat ini saya bangga dengan pencapaian dalam seni.

“Bagaimana pun, masih banyak lagi perlu saya belajar demi kutip pengalaman. Saya percaya dengan kesungguhan dan usaha berterusan, impian yang kita cita-citakan berjaya direalisasi.

“Syukur, selain menyanyi saya juga turut berjinak-jinak dalam penciptaan lagu. Sudah ada beberapa artis yang menggunakan khidmat saya dalam penghasilan lagu mereka,” katanya teruja.

Ditanya adakah sebagai pendatang baru sepertinya perlu ada kebolehan lain mempunyai satu bakat sahaja, Haqiem mempunyai pandangannya sendiri.

Ujarnya, sekiranya seseorang penyanyi itu sama ada baru atau lama mempunyai kepakaran untuk menghasilkan lagu atau lirik, itu boleh dikatakan bonus.

“Kata orang, tidak salah untuk kembangkan bakat. Itu boleh dikatakan satu kelebihan buat kita untuk melihat sejauh mana survival kita dalam industri. Macam saya pun masih lagi baru dalam penciptaan lagu. Syukur bila ramai yang percaya dengan bakat yang kita ada,” terangnya.

Tambah Haqiem lagi, untuk memberi lebih feel terhadap sesebuah lagu yang itu melekat di hati pendengar, dia gemar menjadikan pengalaman sendiri sebagai latar di dalam sesebuah lagi yang diciptanya.

“Bagi saya kalau buat lagi berdasarkan kepada pengalaman sendiri, ia lebih jujur dan boleh sampai di hati pendengar. Saya suka selitkan elemen bercerita dalam karya. Sebab saya pun boleh hayatinya dengan lebih mendalam,” luahnya jujur.

Kongsi Haqiem, Tergantung Sepi juga boleh dikatakan sebagai kesinambungan kepada single pertamanya itu.

“Single kedua ini mengisahkan mengenai kisah seorang lelaki yang ditinggalkan kekasih dan pada masa sama, dia turut ditinggalkan rakan. Jadi tiada siapa yang boleh diharapkannya,” akui Haqiem kala bercerita mengenai kisah di sebalik lagu barunya itu.

Kongi rezeki bersama keluarga

Berbalik kepada perjalanan seninya kembali, anak ketiga daripada lima beradik ini memberitahu, sebagai seorang anak sudah pastinya dia mahu membuatkan kedua orang tua rasa bangga atas pencapaiannya setakat ini.

“Sejak sertai Idola Kecil musim pertama dulu, ibu bapa sudah pun tahu akan minat saya dalam seni. Jadi merekalah yang jadi pendorong terbesar saya dalam seni. Tidak putus-putus mereka memberikan sokongan dan semangat buat saya untuk terus maju,” cerita Haqiem.

Malah, penyanyi dan komposer muda itu turut menambah, usai penglibatannya dalam Idola Kecil lalu, hala tujunya masih lagi samar-samar atas faktor usia pada ketika itu.

Namun sedikit demi sedikit, dia cuba mencari sinar baru, menerusi Segalanya.

“Kalau nak diikutkan juga, ibu saya pun pernah tanam impian untuk bergelar penyanyi dulu, namun peluang itu tidak kesampaian. Lalu segala minatnya itu dicurahkan pada saya dari segi sokongan moral.

“Jadi rezeki yang ada ini saya mahu kongsikan bersama mereka. Alhamdulillah dapatlah saya belanja mereka apa yang patut, misalnya dalam membeli kelengkapan raya tahun ini. Satu pengalaman berbezalah sebab dulu kita sambut Syawal sederhana saja.

“Akan tetapi, bila sudah bergelar selebriti ni, kalau boleh saya mahu sambutan tahun ini lebih meriah dari sebelumnya. Selain mereka, saya turut meraikan teman-teman rapat,” kata Haqiem yang sambut raya di Hulu Langat, Selangor.
Powered by Blogger.